Kuasa veto hanya untuk agenda peribadi
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
20 November 2024, 7:07 am
KUASA veto yang ada pada lima negara kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS), China, Perancis, Russia dan United Kingdom (UK) tidak lagi memberi makna kepada keamanan dunia yang lebih adil.
Ini kerana acap kali juga kuasa veto itu digunakan untuk mencapai tujuan peribadi negara terlibat terutamanya AS.
AS adalah negara yang sering menggunakan kuasa vetonya dalam banyak isu melibatkan konflik di beberapa buah negara terutama melibatkan Israel daripada dikenakan tindakan antarabangsa.
Seperti diketahui semua, rejim Zionis itu sudah beberapa kali dihadapkan ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) kerana keganasan yang dilakukannya di Semenanjung Gaza.
Walaupun dicadangkan tindakan terhadap Israel dikenakan, akhirnya AS menggunakan kuasa vetonya bagi membatalkan keputusan yang dipersetujui oleh beratus buah negara itu. Sia-sia negara dunia berbincang, berbahas dan membuat undian terhadap pelbagai usul dan resolusi yang dibawa ke PBB.
Keputusan AS itu semata-mata kerana agenda peribadinya terhadap rejim zionis dan konflik di Asia Barat. Ia jelas mengetepikan keadilan antarabangsa kerana yang menjadi mangsa dalam konflik di Gaza adalah rakyat Palestin.
Sehingga hari ini sejak 7 Oktober tahun lalu, kira-kira 44,000 rakyat Palestin sudah terkorban akibat pengeboman dan serangan yang dilakukan oleh rejim zionis.
Sebab itulah Malaysia beranggapan keahlian dalam UNSC yang memberikan kuasa veto kepada lima negara itu wajar dilihat semula.
Hal itu lantang disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi kedua intervensi bertajuk ‘Reformasi Institusi Tadbir Urus Global’ pada Sidang Kemuncak G20 yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil, semalam atas alasan ia tidak inklusif disebabkan oleh ketiadaan wakil dari Amerika Latin dan benua Afrika di dalam UNSC.
Perwakilan dari Afrika dan Amerika Latin dalam UNSC itu kerana mereka mewakili dan menyuarakan kepentingan negara-negara di kedua-dua benua tersebut.
Reformasi PBB kata Anwar sudah dibincangkan selama lima dekad lalu, namun sehingga kini masih tiada perubahan signifikan dilaksanakan terhadap badan dunia tersebut.
Afrika walaupun sebahagian besarnya merupakan negara miskin, pandangan pemimpinnya dalam isu global lebih baik daripada AS. Afrika Selatan misalnya antara yang berani mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas jenayah perang yang mereka lakukan di Gaza.
Mereka memilih jalan mahkamah kerana kecewa dengan UNSC yang gagal memainkan peranan sepatutnya.
Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan