Lebih 280,000 profesional berhijrah ke luar negara
TENAGA mahir Malaysia dilaporkan cenderung memilih Australia sebagai destinasi penghijrahan kerana negara itu dikatakan menawarkan peluang kerjaya dan gaji lebih baik, kualiti hidup lebih tinggi, peluang pendidikan serta keseimbangan kerja dan kehidupan. - GAMBAR HIASAN
Oleh FATIN NORIZATI MAT ISA
7 November 2024, 7:00 am
PETALING JAYA: Lebih 280,000 bakat tempatan, sebahagian besar daripada golongan berpendidikan tinggi dan terlibat dalam pelbagai sektor perkhidmatan profesional, berhijrah ke luar negara.
Menurut laporan, empat negara menjadi tumpuan mereka dengan Australia merekodkan jumlah paling ramai itu seramai 138,363 orang, diikuti Amerika Syarikat (AS) seramai 79,827, United Kingdom (UK) (37,549) dan Kanada (25,690).
Tenaga mahir Malaysia cenderung memilih Australia sebagai destinasi penghijrahan kerana peluang kerjaya dan gaji lebih baik, kualiti hidup lebih tinggi, peluang pendidikan serta keseimbangan kerja dan kehidupan.
Di AS pula, kebanyakan mereka bekerja dalam sektor pengurusan, perkhidmatan profesional, perniagaan, sains dan seni.
Diaspora Malaysia di UK pula, majoritinya berkelulusan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dan aktif dalam sektor pengurusan, perkhidmatan profesional, perubatan dan hospitaliti.
Sementara di Kanada, mereka terlibat dalam sektor pengurusan, perkhidmatan profesional, sains, perubatan dan perkhidmatan teknikal.
Penghijrahan bakat Malaysia itu berdasarkan data daripada TalentCorp dan Bank Dunia dalam kajian bertajuk Leveraging on Malaysian Diaspora: Malaysian Diaspora Heat Maps yang disiapkan pada April 2022, dengan populasi diaspora Malaysia di empat negara utama terbabit dianggarkan berjumlah 281,429 orang.
Maklumat terperinci mengenai statistik penghijrahan yang merangkumi pecahan mengikut kaum, negara destinasi, umur dan alasan penghijrahan dari 2018 hingga 2024 sedang dikumpul melalui kajian tambahan serta pelbagai sumber data yang relevan.
Situasi itu boleh menyebabkan Malaysia berdepan fenomena brain drain sekiranya golongan profesional tempatan atau tenaga berkemahiran tinggi berhijrah ke negara maju untuk peluang kerjaya yang lebih baik.
Menurut Laporan Migrasi 2022 oleh Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), kadar purata migrasi global adalah 3.6 peratus, manakala Malaysia mencatatkan kadar migrasi 5.6 peratus daripada populasi keseluruhan iaitu seramai 1.86 juta orang.
Mengulas perkembangan itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, isu gaji dan peluang kerjaya yang terhad di Malaysia sememangnya menjadi faktor utama penghijrahan graduan berkemahiran tinggi.
Dalam banyak keadaan, katanya, gaji yang ditawarkan di Malaysia tidak setanding dengan yang ditawarkan di negara-negara maju terutama dalam sektor-sektor seperti teknologi, perubatan dan sains.
“Peluang kenaikan pangkat yang terhad serta kekurangan laluan kerjaya yang jelas sering kali mengurangkan motivasi graduan untuk kekal berkhidmat dalam negara.
“Situasi ini lebih ketara berlaku dalam sektor-sektor tertentu yang mana kebolehan dan kemahiran mereka kurang dihargai atau diambil serius,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mohd. Effendy berkata, tenaga kerja Malaysia dalam sektor profesional masih belum mencukupi untuk menggantikan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berhijrah ke luar negara.
Kata beliau, ia disebabkan jurang kemahiran, kurangnya pengalaman dalam bidang tertentu serta ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan tenaga kerja dalam sektor-sektor kritikal seperti teknologi, perubatan dan kejuruteraan.
“Kehilangan bakat berkepakaran tinggi ke luar negara menyebabkan Malaysia kekurangan tenaga kerja berkemahiran dan berpengalaman luas dalam bidang-bidang yang memerlukan kepakaran khusus.
“Walaupun terdapat graduan tempatan mempunyai kelayakan akademik, kebanyakan mereka masih memerlukan masa dan latihan untuk mencapai tahap kemahiran dan pengalaman bagi menggantikan mereka yang berhijrah,” katanya.
Tambahnya, kekurangan dalam kemahiran kritikal seperti data analitik, kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat dan sains hayat menyukarkan Malaysia untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berhijrah.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, penghijrahan golongan berkemahiran memberi cabaran besar kepada Malaysia untuk mencapai status negara maju.
Katanya, apabila golongan profesional berhijrah, ia menyebabkan kekurangan tenaga pakar dalam negara yang sepatutnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi.
“Ini boleh melambatkan proses untuk mencapai status negara maju, yang dijangka mengambil masa lebih lama jika trend penghijrahan berterusan.
“Generasi masa depan akan kehilangan peluang untuk belajar daripada pakar tempatan yang memilih untuk membina kerjaya di luar negara,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ikhwan Toriman berkata, aspek kemajuan teknologi turut menjadi faktor kerana kemudahan itu lebih banyak disediakan di negara maju berbanding Malaysia.
“Kemampuan industri luar menyediakan prasarana yang mencukupi memudahkan penggunaan teknologi terkini, sekali gus membolehkan bidang kerjaya kritikal bertapak.
“Syarikat antarabangsa juga menyediakan peluang latihan dan pembangunan profesional yang komprehensif termasuk latihan silang budaya, pendedahan kepada amalan kerja terbaik global dan program mentor,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan