MAHB tidak rugi, tetapi kenapa sahamnya dijual?





MAHB tidak rugi, tetapi kenapa sahamnya dijual?
November 6, 2024

Datuk Ustaz Idris ketika menyampaikan ucapan pada Ceramah Perdana 1 Tahun Taufan Al-Aqsa di KUIZM, semalam (Foto: HARAKAHDAILY/ZHARIF ZULKIFLEE)

KUALA LUMPUR: Malaysia antara negara yang tidak mengiktiraf Israel, tetapi tindakan menjual saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada pihak terkait membunuh rakyat Palestin.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad malah turut mempertikaikan penjualan pegangan MAHB tersebut sedangkan syarikat itu mencatatkan keuntungan pada tahun 2023 sebanyak RM543 juta.

“Dia (MAHB) bukan rugi. Adakah MAHB tak dak projek? Ada, 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB termasuk satunya ialah di Turkiye. Satu-satunya airport di luar negara diuruskan oleh MAHB. Maknanya bukan bodohlah rakyat Malaysia ni.

“Kita mempunyai kepakaran kita kalau tidak tak kan sembarangan tak bagi. Turkiye pun hebat, teknologi dia. Bukan kecil anaknya Turkiye. Lapangan Turkiye yang diuruskan ialah orang Malaysia. Yang duk makan nasi kerabu, makan budu,” ujarnya.

Bidasnya, tidak ada sebab sepatutnya untuk kepentingan tersebut dijual hingga sebanyak 30 peratus, apatah lagi dua logistik strategik terpenting kepada negara adalah lapangan terbang dan pemancar penyiaran.

Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin ujar beliau, terus dipertahankan oleh penduduknya walaupun berdepan kehilangan nyawa adalah kerana pendirian bahawa mereka adalah pemegang amanah mewakili umat Islam di seluruh dunia.

Kerana itu kata beliau, warga Palestin hingga kini tetap bertegas menolak penyelesaian dua negara atau ‘two-state solution’ untuk bumi tersebut dipecahkan sebagai Palestin dan Israel.

Jelasnya, warga Palestin juga bertegas penjajah Israel yang harus keluar daripada tanah tersebut kerana mereka datang menceroboh di mana kini semangat itu telah dibuktikan lebih setahun sejak Taufan Al-Aqsa.

Lebih mengagumkan katanya, apabila Palestin hanya ditolong oleh negara-negara kecil seperti Lubnan dan Yaman, selain Iran berbanding Israel yang disokong dengan bantuan daripada seluruh dunia.

“Banyak umat Islam satu bilion lebih, umat Islam tetapi kebanyakan mereka tidak mempedulikan berkenaan dengan apa yang berlaku di Palestin. Negara-negara Arab membisu dalam soal Palestin.

“Negara-negara Arab, pemimpin-pemimpin Arab, seolah-olah tidak ada jiwa, tidak ada. Kalau kamu tidak adanya perikemanusiaan, sekurang-kurangnya kamu ada perasaan agama sekurang-kurang kamu lihat bagaimana pembunuhan.

“Anak-anak yang tak berdosa, wanita-wanita yang tak berdosa, sekurang-kurang ada perasaan ni,” ujar beliau dalam Ceramah Perdana 1 Tahun Taufan Al-Aqsa Dewan Dato’ Haji Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini semalam.

Beliau berkongsi negara seperti Ireland walaupun merupakan negara bukan-Islam tetapi menzahirkan penentangan dan tekanan ke atas Israel, sebaliknya memberi sokongan kepada Palestin atas prinsip kemanusiaan.

Ustaz Idris berkongsi mengenai betapa eratnya PAS dengan Palestin di mana dalam setiap Ucapan Dasar Presiden PAS setiap kali Muktamar Tahunan pasti menyentuh berkenaan isu Palestin.

“Rahsia yang menyebabkan mereka bertahan untuk nak lawan Israel ini tidak lain dan tidak bukan ialah senjata iman. Ni logik akal kita tak mampu nak lawan. Tengok kawalan daripada tentera-tentera Israel di sebelah,” ujarnya menerangkan kehebatan itu. – HARAKAHDAILY 6/11/2024

Ulasan