Melayu mudah tertipu pujukan, sogokan musuh Islam
November 16, 2024
KUALA LUMPUR: Kelemahan orang-orang Melayu pada hari ini ialah mudah tertipu dengan pujukan dan sogokan musuh Islam.
Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, perkara tersebut merupakan sesuatu yang patut diketahui oleh setiap umat Islam.
“Musuh-musuh Islam sentiasa tanpa henti mempunyai perancangan secara tersembunyi walhal Islam mengajar supaya menjadi seorang yang bijaksana,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen NGO-NGO Islam di Akademi Pendidikan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), hari ini.
Yang hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad, Penyelidik dan Penulis Institut Ahli Arkeologi Malaysia Zahara Sulaiman dan Setiausaha Agung Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Aswanizam Alias.
Menurut beliau, ramai orang Melayu pada hari ini sudah tidak lagi mempunyai kesedaran mengenai perkara sebegitu.
Tambah beliau, sifat sebegitu juga membolehkan musuh-musuh Islam untuk mencari ruang masuk campur secara halus.
“Kita lihat satu daripadanya ialah bagaimana Enakmen Syariah Kelantan yang berlaku dan pelbagai isu berkaitan Islam diganggu yang mana semuanya bukannya berlaku secara kebetulan.
“Ini kerana musuh Islam telah membuat perancangan secara halus tanpa henti dan apabila wujudnya peluang yang kecil maka ianya akan membuka kepada peluang-peluang lain.
“Akan tetapi, ramai umat Islam tidak menyedari perancangan halus sebegitu kerana mudah termakan dengan sogokan musuh itu sendiri,” ujarnya.
Sehubungan itu, Dato’ Amar menegaskan pentingnya umat Islam untuk sentiasa bersatu dan tidak berbalah antara satu sama lain.
Kata beliau lagi, ianya ibaratkan jari tangan yang walaupun berbeza tetapi apabila bersatu maka boleh menjadi satu penumbuk yang kuat.
“Maka, kita pun kena jadi seperti jari-jari tangan kita sendiri iaitu walaupun berbeza dari segi saiz tetapi tetap bersatu bila mempunyai tujuan yang sama dan menjadi satu penumbuk yang kuat,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan