Menara Condong Teluk Intan lengang
SUASANA lengang di Dataran Menara Condong walaupun semalam adalah hari cuti hujung minggu. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Oleh AIN SAFRE BIDIN
5 November 2024, 8:53 am
TELUK INTAN: Jumlah pelancong ke Menara Condong di sini berkurangan mendadak selepas insiden sekumpulan individu mengibar bendera negara China baru-baru ini.
Tinjauan sempena Hari Deepavali baru-baru ini mendapati jumlah pelancong tidak ramai seperti biasa.
Keadaan itu berbeza berbanding sebelum ini, yang mana lazimnya lokasi berkenaan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara sewaktu cuti hujung minggu dan cuti panjang.
Pengerusi Pelancongan Teluk Intan, Fong Seow Kai mengakui jumlah pelancong ke menara itu semakin kurang sejak kebelakangan ini.
Beliau percaya perkara itu berkemungkin ada kaitannya dengan kejadian mengibar bendera negara China semasa satu perayaan.
“Sebelum ini kalau hujung minggu dan hari cuti, banyak bas membawa pelancong singgah melawat menara ini tetapi semasa cuti Deepavali baru-baru ini, suasananya bertukar, tak ramai pelancong yang datang.
“Saya tidak pasti kenapa, mungkin ada kaitan dengan kejadian mengibar bendera baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dia yang juga pengusaha hotel di bandar ini mendedahkan, kesan daripada kemerosotan kedatangan pelancong dirasai apabila kadar penginapan pengunjung ke hotelnya juga merosot.
Sementara itu, pembantu jualan tiket Menara Condong, Hisham Sahak, 45, berkata, jumlah pelancong minggu ini berkurangan berbanding sebelum ini.
“Sebelum ini banyak bas pelancong berhenti di sini menurunkan penumpang, tapi sejak kebelakangan ini suasana itu berlainan.
“Biasanya pelancong yang datang ke sini dari China, Indonesia, Singapura. Tapi sekarang satu atau dua bas pelancong sahaja yang singgah menurunkan pelancong,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan