Negara Islam mesti tegas, vokal terhadap Israel
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
13 November 2024, 7:37 am
Sama ada suara Malaysia dalam memperjuangkan kedaulatan negara Palestin dan rakyatnya didengari oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau tidak, yang pasti mesej itu perlu disampaikan.
Ia satu keputusan yang jelas dari Malaysia iaitu Israel perlu disingkirkan daripada pertubuhan tersebut kerana terlalu banyak pelanggaran undang-undang antarabangsa dilakukan.
Rejim zionis itu bukan sahaja melanggar gencatan senjata di Gaza tetapi terus melakukan genosid dengan pengeboman tanpa henti di wilayah yang telah musnah itu seperti padang jarak padang tekukur.
Gaza adalah cerita sedih tentang peradaban kemanusiaan moden. Berpuluh ribu nyawa terkorban akibat keganasan Israel.
Mereka menghalalkan tindakan itu dengan memburu anggota Hamas yang didakwa sebagai pengganas tetapi yang dibunuh adalah wanita dan kanak-kanak tidak berdosa.
Israel mendakwa orang awam di Gaza menjadi mangsa korban kerana Hamas menjadikan mereka sebagai perisai manakala premis awam termasuk hospital dan sekolah dibom kerana ia menjadi tempat sebagai persembunyian Hamas.
Sedangkan Israel juga melakukan tindakan sama apabila membina pejabat-pejabat keselamatannya di tengah-tengah tempat awam di Tel Aviv.
Tidak cukup dengan Gaza, Israel juga melakukan serangan terhadap Iran, Iraq, Lubnan, Yaman dan Syria. Alasannya tetap sama iaitu memerangi apa yang didakwanya sebagai pengganas dan demi keselamatan dunia.
Sedangkan sejarahnya bermula dengan penjajahan Israel terhadap bumi Palestin dan habis dijarahnya negara berdaulat itu demi agenda peribadi rejim zionis. Negara kecil itu seolah-olah kuasa besar yang mewakili satu dunia. Mereka tidak peduli tentang perkara itu dan berterusan melakukan keganasan terhadap rantau Arab ekoran tiada kesepaduan pemimpin Islam serantau.
Malah pasukan pengaman PBB di Lubnan tidak terkecuali menjadi sasaran pengeboman rejim pengganas itu di Lubnan. Serangan itu turut melibatkan pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 baru-baru ini yang mengakibatkan enam anggota misi mengalami kecederaan.
Israel sudah melampaui batas dan sebab itulah negara-negara Arab perlu bersatu menyatakan bantahan mereka terhadap keganasan yang dilakukan oleh Israel.
Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi semalam telah menimbulkan perkara itu dan perlu penegasan diambil oleh negara-negara Islam terhadap Israel.
Selain diberi pelbagai bentuk tekanan seperti dihadap ke mahkamah antarabangsa atas jenayah perang dan disingkirkan daripada PBB, penjualan senjata terhadap Israel juga perlu dilakukan.
Mesej tegas negara-negara Islam itu perlu disampaikan kepada seluruh pemimpin dunia supaya keganasan Israel dapat dihentikan.
Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan