Pasar Malam Kangar model ‘Berhenti Dulu, Kita Solat’



Pasar Malam Kangar model ‘Berhenti Dulu, Kita Solat’
November 7, 2024

KANGAR: Suasana meriah kembali dirasai di pasar malam lama di Kangar berhampiran stesen bas apabila Majlis Perbandaran Kangar (MPK) membuka semula operasi pasar tersebut.

Kali terakhir pasar malam ini diadakan di tapak ini adalah pada tahun 1998 sebelum dipindahkan ke Stadium Tuanku Syed Putra.

Pasar malam yang dibuka bermula semalam menyediakan 114 tapak dengan 66 peniaga itu berjaya menarik minat pengunjung untuk membeli barangan keperluan harian mereka.

Kehadiran pengunjung yang ramai mencerminkan sambutan positif daripada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, pembukaan semula pasar malam ini diharap dapat membantu rakyat dalam meningkatkan ekonomi tempatan serta menyediakan akses mudah kepada keperluan harian.

“Bagi mereka yang lahir pada tahun 80-an, pasar malam di Market Lama, Kangar sememangnya meriah, dan kemeriahan tersebut kini kita kembalikan semula pada tahun 2024,” katanya.

Pasar malam ini akan dibuka setiap hari Rabu dari jam 5:00 petang hingga 10:00 malam.

Selain daripada tujuan ekonomi, pasar ini juga akan menjadi pasar malam model dalam pelaksanaan kempen ‘Berhenti Dulu, Kita Solat’, yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri.

“Apabila masuk waktu Maghrib, para peniaga dan pembeli akan berhenti untuk menunaikan solat di ruang solat yang telah disediakan dengan baik.

“Ini adalah usaha untuk mendidik masyarakat agar memberi keutamaan kepada ibadah solat dalam kehidupan mereka,” jelas Asrul Aimran.

Dengan inisiatif ini tambahnya lagi, diharapkan pasar malam lama di Kangar bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat tetapi juga menyuburkan nilai-nilai Islam di kalangan pengunjung. – HARAKAHDAILY 7/11/2024

Ulasan