Pasaran saham global meningkat, dolar mengukuh



Pasaran saham global meningkat, dolar mengukuh
Oleh NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN
7 November 2024, 9:00 am

HONG KONG : Mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) melonjak dan bitcoin mencapai rekod baharu, sementara pasaran saham turut meningkat ketika pedagang bertaruh pada kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden AS berdasarkan keputusan awal yang diterima.

Walaupun tinjauan menunjukkan persaingan merebut White House berada pada tahap sengit, calon Republikan itu dilihat berada dalam kedudukan lebih baik berbanding lawannya, Kamala Harris dari Parti Demokrat.

Kedua-dua calon memperoleh kemenangan di negeri-negeri selamat mereka, namun tanda-tanda menunjukkan ahli perniagaan terkenal itu mempunyai kelebihan, yang mengukuhkan fenomena yang dikenali sebagai ‘Trump Trade’.

Tanda-tanda parti bekas presiden itu turut memperoleh keputusan memberangsangkan dalam perlumbaan Kongres menambahkan lagi jangkaan terhadap pemotongan cukai besar-besaran, lebih banyak tarif dan pengurangan peraturan yang dilihat memberi rangsangan kepada dolar AS.

Dolar meningkat 1.5 peratus kepada 154.33 yen, yang merupakan tahap tertingginya sejak Julai lalu, selain naik lebih satu peratus berbanding euro dan lebih dua peratus berbanding peso Mexico.

Bitcoin pula mencatatkan kenaikan hampir AS$6,000 (RM26,409) ke tahap tertinggi baharu, AS$75,005 (RM330,107) mengatasi puncak sebelumnya sebanyak AS$73,797 (RM321,304) yang dicapai Mac lalu.


Trump sebelum ini berjanji menjadikan AS sebagai ‘ibu kota dunia bagi bitcoin dan mata wang kripto’.

Walaupun negeri-negeri penting masih terlalu awal untuk dipastikan, keputusan awal menunjukkan Trump mendahului di Georgia, dan para pedagang memperhatikan rapat keputusan lain yang diterima.

“Jika saya perlu memilih satu aset sebagai penanda sentimen Trump, ia adalah bitcoin,” kata Max Gokhman dari Franklin Templeton Investment Solutions merujuk kepada keputusan awal pengundian.

Penganalisis juga memberi tumpuan kepada perlumbaan Kongres, dengan menambah kemenangan bersih untuk Trump dan Republikan berkemungkinan meningkatkan dolar dan hasil Perbendaharaan berikutan rancangannya untuk mengurangkan cukai serta mengenakan tarif ke atas import. -AGENSI

Ulasan