Pedofilia: Ibu bapa kena celik IT
Oleh Mohammad Radzi Mohd Zin
1 November 2024, 7:07 am
Membaca laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini dengan tajuk ‘Media sosial lubuk pedofilia’ pastinya meresahkan para ibu bapa terutama yang mempunyai anak-anak berusia 5 ke 12 tahun dan remaja.
Pedofilia adalah penyakit mental kronik yang menyebabkan penghidapnya berasa ghairah apabila melihat kanak-kanak atau gambar mereka.
Antara punca berleluasa masalah ini adalah tiada kawalan ketat oleh pengendali media sosial. Natijahnya, platform media sosial itu menyasarkan kanak-kanak dan remaja yang naif tentang keselamatan diri sebagai mangsa.
Selain media sosial, permainan dalam talian juga menjadi lubuk terpenting bagi penjenayah tersebut untuk memuaskan nafsu mereka.
Berdasarkan laporan ExplodingTopics.com, 10 media sosial yang paling ramai pengguna pada 2024 adalah Facebook, YouTube, WhatsApp, Instagram, TikTok, Wechat, Messenger, Telegram, Viber dan Snapchat.
Urutan itu berdasarkan jumlah pengguna dan data trafik yang diukur secara bulanan. Meltwater.com turut melaporkan pada 2024, Malaysia merekodkan 28.68 juta pengguna media sosial. Media sosial yang paling popular di Malaysia ialah Whatsapp, TikTok, Facebook, Instagram, Twitter, Xiaohongshu, Telegram, Wechat, Pinterest dan Discord.
Mengikut laporan Statista.com pada 4 Jun lalu, sehingga suku ketiga 2023, rakyat Malaysia menghabiskan masa dua jam 48 minit (purata sehari) menggunakan media sosial. Ini menunjukkan sedikit kenaikan daripada tahun sebelumnya iaitu dua jam 47 minit.
Semua data itu menunjukkan betapa besarnya pengaruh media sosial dalam kehidupan kita. Ia seolah-olah sebahagian daripada kehidupan kita yang tidak mungkin dapat dipisahkan.
Ada ibu bapa memberikan gajet baik telefon bimbit atau tablet supaya anak-anak kecil ‘diam’ dan tidak mengganggu urusan harian mereka. Bagaimanapun, ketiadaan pengawasan boleh menjerumuskan anak-anak dan remaja sebagai mangsa golongan pedofil.
Sebabnya, dengan kemudahan komunikasi dan kebolehcapaian yang tinggi, penjenayah berupaya menyamar sebagai individu yang boleh dipercayai dalam membina hubungan dan memanipulasi mangsa dengan mudah.
Peringkat awal, penjenayah itu akan bermain dalam talian dengan mangsa. Lama-kelamaan mangsa diminta hantar gambar sebagai permulaan ‘berkawan. Seterusnya mereka minta hambar bogel mangsa dan ugut akan beritahu ibu bapa yang dia telah berkongsi gambar jelik itu kepada orang lain.
Dalam masa sama, pendidikan dan kesedaran tentang keselamatan siber juga memerlukan peranan sekolah dan masyarakat. Didik anak supaya tidak berkongsi hal peribadi termasuk gambar-gambar dengan orang yang baru atau tidak dikenali latar belakang mereka.
Selain itu, platform media sosial juga perlu bertanggungjawab dengan menyediakan alat dan panduan keselamatan yang berkesan untuk pengguna muda.
Walaupun penguatkuasaan pelesenan media sosial akan bermula 1 Januari 2025, ibu bapa tidak ada pilihan. Mereka mesti celik dan ambil tahun tentang media sosial supaya dapat melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa penjenayah pedofilia dan scammer. – UTUSANMohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan