Penerokaan Hutan Sungai Lembing undang risiko
Penduduk risau banjir besar berlaku hingga Bentong, Karak, Temerloh dan Maran
November 7, 2024
KUANTAN: Aktiviti penebangan hutan seluas lebih 20 hektar di Sungai Lembing menimbulkan kebimbangan serius terhadap risiko banjir besar, khususnya ketika Monsun Timur Laut yang semakin hampir.
ADUN Beserah, Dato’ Andasura Rabu berkata, penebangan hutan itu dipercayai dilakukan untuk tujuan pertanian yang terletak berhampiran perkampungan Orang Asli Sungai Mas serta sungai utama di kawasan itu.
“Saya ke lokasi yang dilaporkan pagi tadi bersama ADUN Sungai Lembing, Ayub Ashri dan ADUN Panching, Mohd Tarmizi Yahya serta wakil penduduk dan beberapa petugas media bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.
“Perkara ini diketahui apabila Ayub Ashri menerima sesalinan laporan yang dikemukakan oleh Ibu Pejabat Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am Kuantan.
“Mereka melakukan latihan mencari dan menyelamat di hutan berhampiran pada pertengahan bulan September dan mendapati berlaku aktiviti penghapusan hutan di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesan buruk boleh berlaku kepada penduduk sekiranya situasi itu tidak ditangani segera.
“Menurut laporan mereka, aktiviti tersebut dibimbangi boleh menyebabkan hakisan tanah dan sungai menjadi cetek, keruh dan tercemar.
“Namun apa yang lebih membimbangkan kami, risiko bencana banjir luar biasa yang boleh menimpa penduduk di beberapa kampung di sekitar Sungai Lembing.
“Banjir selut yang berlaku sebelum ini boleh berulang dan mungkin boleh menyebabkan kemusnahan yang lebih besar jika berlaku cuaca buruk luar jangka khususnya dalam fasa Monsun Timur Laut ketika ini,” katanya.
Andasura turut mempersoalkan sama ada prosedur yang diperlukan telah diikuti sepenuhnya oleh pemilik dalam proses kelulusan aktiviti tersebut, terutamanya yang berkaitan dengan kesan alam sekitar.
“Ayub Ashri telah mengenengahkan isu ini pada bulan lalu, namun tiada maklum balas daripada pihak kerajaan. Jabatan Perhutanan yang ditemui beliau memaklumkan kawasan tersebut merupakan milik persendirian.
“Manakala Jabatan Alam Sekitar pula memberitahu aktiviti tersebut di luar bidang penguatkuasaan mereka kerana tiada Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) disediakan,” ujarnya.
Menurut Andansura, selain kesan alam sekitar dan risiko banjir, laporan oleh pihak PGA juga menyatakan kebimbangan berhubung gangguan kepada habitat haiwan.
“Beberapa kesan tapak kaki haiwan liar seperti beruang dan harimau ada ditemui di kawasan latihan mereka.
“Laporan tersebut yang disediakan kepada beberapa agensi meminta tinjauan dan penilaian dilakukan bagi memastikan perundangan dipatuhi dan kelestarian alam terpelihara.
“Justeru itu, saya minta pihak kerajaan menjawab persoalan-persoalan berkaitan perkara ini dengan telus dan bertanggungjawab,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.
Beliau turut mempersoalkan identiti pemilik tanah yang begitu luas itu dan bagaimana kebenaran bagi aktiviti penebangan hutan tersebut diperoleh dengan mudah.
“Apakah pihak berkuasa lupa dengan bencana banjir lumpur dan selut yang berlaku sebelum ini bukan sahaja di Sungai Lembing, malah di Bentong, Karak, Temerloh dan Maran sebelum ini.
“Jangan sampai ada seseorang berkata, “Banjir pun tak terurus, muka ni juga nak pergi tolong esok”,” sinisnya. – HARAKAHDAILY 7/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan