Penggal akhir Anwar jadi Presiden PKR


Penggal akhir Anwar jadi Presiden PKR
FUZIAH SALLEH
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR, OMAR ZIN dan ASLINDA NASIR
7 November 2024, 7:09 am

KUALA LUMPUR: Pemilihan PKR yang dijangka berlangsung tahun depan adalah penggal terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Presiden parti itu.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, Perlembagaan parti hanya membenarkan setiap Presiden memegang jawatan selama tiga penggal.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya beliau tidak lagi memegang jawatan Presiden PKR.

“Presiden parti boleh pegang sehingga tiga penggal, jadi Datuk Seri Anwar baru ada dua penggal, selama ini bukan beliau yang pegang (Presiden), tetapi Kak Wan (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail).

“Kita tidak boleh kata Datuk Seri Anwar tidak mahu berundur, cuba tengok Presiden parti lain berapa lama mereka pegang parti?,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Anwar memegang jawatan Presiden PKR buat pertama kali selama dua penggal sejak 2018 dan bertanding di Parlimen Port Dickson.


PKR dijangka mengadakan pemilihan parti tahun depan yang menyaksikan semua jawatan bakal dipertanding terma­suk Presiden dan Timbalan Presiden.

Fuziah yakin tidak menjadi masalah buat Anwar jika beliau tidak memegang lagi jawatan Presiden parti itu.

“Sebab Datuk Seri Anwar pernah berkata, seseorang itu tidak perlu menjadi Presiden parti untuk menjadi Perdana Menteri. Malah, selagi kita perlukan dia, tiada masalah untuk itu.

“Beliau boleh memegang mandat sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PKR mempunyai ramai pemimpin pelapis dan perkara itu dinilai pada pemilihan akan datang.

Katanya, ia menunjukkan PKR tidak ketandusan pe­mimpin dan mempunyai pelapis yang sama seperti Anwar.

“Sebenarnya, terlalu banyak nama pemimpin mungkin orang tidak nampak, tetapi saya lihat banyaknya nama. Dari usia 60-an, 50-an, sehingga 20-an, kita ada pelapis.

“Umur 60-an, PKR ada saya, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Dr. Zaleha Mustafa. 50-an, ada Menteri Besar Negeri Sembilan, usia 40-an ada Nik Nazmi Nik Ahmad, Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli, Fadhlina Sidek dan 30-an ada Adam Adli, Kamil Munim.

“Kita ada ramai sahaja pe­mimpin tetapi mungkin ada yang kata kita belum bersedia dan sebagainya. Jadi kita lihat bagaimana dengan pemilihan nanti,” katanya. – UTUSAN

Ulasan