Pengkelasan T15 pastikan penstrukturan subsidi lebih adil


Pengkelasan T15 pastikan penstrukturan subsidi lebih adil
Suzalina Halid - November 4, 2024 @ 9:00am
Pembentangan Belanjawan 2025 tempoh hari mewujudkan polemik baharu berikutan wujudnya pengkelasan kumpulan pendapatan baharu iaitu T15 atau 'maha kaya' dalam usaha kerajaan melaksanakan subsidi bersasar petrol RON95 mulai tahun depan. Kerajaan juga belum memuktamadkan takrifan tepat bagi kumpulan T15. Ikuti pandangan berikut.

Arif Fahman Abdullah - Presiden Persatuan Gerakan Pengguna Siswa Universiti Putra Malaysia (UPM)

Soalan (S): Apa kriteria penting untuk penentuan individu itu termasuk dalam kategori T15?

Jawapan (J): Kriteria utama dalam menentukan individu yang tergolong dalam kategori T15 termasuk pendapatan bersih, bilangan isi rumah dan lokasi tempat tinggal. Pendapatan bersih ialah ukuran utama dalam menentukan tahap kemampuan kewangan individu atau isi rumah. Sebagai contoh, individu mempunyai pendapatan tinggi tetapi tinggal di kawasan dengan kos sara hidup rendah mungkin tidak memerlukan bantuan subsidi berbanding mereka yang tinggal di kawasan kos hidup tinggi dengan pendapatan sama. Selain itu, bilangan isi rumah memainkan peranan penting kerana isi rumah besar mungkin mempunyai lebih banyak keperluan perbelanjaan berbanding individu maha kaya tetapi hidup sendirian. Dengan memperincikan kriteria ini, kerajaan boleh memastikan bantuan subsidi disasarkan secara lebih tepat dan relevan.

S: Kerajaan masih mengkaji bagaimana hendak menentukan ciri-ciri individu atau isi rumah T15. Berapa nilai ambang pendapatan paling wajar untuk tentukan kategori T15?

J: Nilai ambang pendapatan sesuai untuk kategori T15 boleh ditetapkan kepada pendapatan bersih isi rumah melebihi RM15,000 sebulan. Penentuan ini perlu mempertimbangkan kos sara hidup dan perbelanjaan asas di pelbagai lokasi. Menetapkan ambang tepat membantu memastikan golongan lebih berkemampuan tidak lagi memerlukan subsidi, manakala mereka yang memerlukan terus dibantu. Kajian berkala diperlukan untuk memastikan ambang ini kekal relevan dan mencerminkan perubahan ekonomi dan kos sara hidup. Penetapan ini juga perlu disemak secara berkala bagi mengimbangi perubahan dalam kos sara hidup di seluruh negara.

S: Sejauh mana rasionalisasi subsidi membabitkan pengkelasan kumpulan T15 ini relevan?

J: Rasionalisasi subsidi melalui kaedah kategori T15 relevan dalam menghadapi cabaran ekonomi masa kini. Dengan memperincikan golongan berpendapatan tinggi melalui kategori lebih spesifik, kerajaan dapat memastikan subsidi hanya disasarkan kepada mereka benar-benar memerlukan. Walaupun golongan T15 berada dalam kelompok berpendapatan lebih tinggi, ini tidak semestinya bermakna mereka bebas darpada keperluan subsidi, terutama jika mempunyai tanggungan yang besar.

Kaedah ini penting bagi mengelakkan ketirisan subsidi kepada mereka yang kurang memerlukannya dan memastikan dana tersebut lebih tertumpu kepada golongan yang memerlukan. Namun, penetapan T15 harus dilakukan dengan teliti, berdasarkan data dan kajian mendalam, untuk memastikan bahawa subsidi sampai kepada golongan sasar tanpa meletakkan beban yang tidak seimbang kepada golongan mampu berdikari.

S: Wajarkah kategori T15 diwujudkan berdasarkan lokaliti atau bagaimana ia patut ditentukan?

J: Penentuan kategori T15 berdasarkan lokaliti adalah sangat wajar, memandangkan kos sara hidup berbeza mengikut lokasi. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor, kos hidup jauh lebih tinggi berbanding luar bandar seperti Kelantan dan Terengganu. Oleh itu, nilai ambang pendapatan bagi T15 perlu mempertimbangkan faktor ini untuk memastikan rakyat dari pelbagai lokasi mendapat sokongan bersesuaian antara pendapatan bulanan dengan keadaan kos hidup mereka. Pendekatan ini memastikan keadilan dalam pengagihan subsidi, yang mana subsidi diberikan akan lebih memadai untuk keperluan sebenar setiap individu mengikut kos sara hidup di tempat tinggal masing-masing.

S. Adakah pengenalan kategori T15 menjadi penanda aras rakyat atau negara sudah mencapai berpendapatan tinggi?

J: Pengenalan kategori T15 belum menunjukkan Malaysia sudah mencapai status negara berpendapatan tinggi sepenuhnya. Namun, ia adalah langkah penting dalam penstrukturan semula sistem subsidi lebih adil. Singapura dan Korea Selatan antara negara sudah melaksanakan langkah serupa bagi menguruskan subsidi dengan lebih baik berdasarkan realiti ekonomi semasa. Pengenalan T15 menunjukkan komitmen Malaysia ke arah pembangunan berpendapatan tinggi, tetapi memerlukan pemantauan dan penilaian berterusan untuk memastikan kategori ini memberi manfaat seimbang kepada rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

S. Mekanisme bagaimana perlu dilaksanakan untuk pastikan golongan T15 tertakluk kepada syarat rasionalisasi subsidi?

J: Bagi memastikan golongan T15 tertakluk kepada syarat rasionalisasi subsidi, mekanisme seperti pengesahan kad pengenalan di stesen minyak atau perkhidmatan awam lain boleh dilaksanakan. Penggunaan teknologi data bersepadu antara jabatan kerajaan juga dapat membantu mengenal pasti status ekonomi isi rumah dengan lebih berkesan. Ini memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima subsidi berhak menerimanya.

S: Lebih 10 juta individu dijangka berpotensi diklasifikasikan sebagai golongan T15. Adakah jumlah ini memadai memberikan pulangan kepada kerajaan jika dilepaskan daripada mendapat subsidi?

J: Jumlah 10 juta individu dalam kategori T15 yang dijangka dikeluarkan daripada penerima subsidi berpotensi memberikan penjimatan signifikan kepada kerajaan, dengan anggaran penjimatan antara RM3 hingga RM4 bilion setahun, terutama dari segi pengurangan subsidi petrol RON95. Dengan pengecualian subsidi bagi golongan ini, kerajaan dapat mengurangkan beban fiskal dan menyalurkan dana dijimatkan kepada inisiatif lebih bersasar, seperti bantuan golongan B40 lebih memerlukan. Namun, penentuan kesan sebenar langkah ini memerlukan kajian teliti untuk memastikan golongan T15 dapat menanggung kos sara hidup tanpa sokongan subsidi.

Kerajaan juga perlu mempertimbangkan faktor seperti kos hidup mengikut lokaliti dan tanggungan keluarga dalam kalangan T15 sebelum melaksanakan dasar ini. Jika tidak dilaksanakan dengan teliti, terdapat risiko bahawa sebahagian daripada T15, terutama mereka berpendapatan rendah dalam kategori ini atau dengan beban tanggungan besar, akan merasa terbeban. Secara keseluruhan, pengecualian subsidi bagi T15 berpotensi memberi pulangan positif kepada kerajaan, tetapi keberkesanannya perlu dipastikan melalui pemantauan dan penyesuaian berterusan bagi memastikan keadilan dan keseimbangan semua pihak.

Ulasan