PKR: Hassan Karim hadapi dua pertuduhan


PKR: Hassan Karim hadapi dua pertuduhan
HASSAN KARIM
Oleh ASLINDA NASIR
23 November 2024, 7:28 am

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim selesai memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin PKR kelmarin, susulan aduan yang dihantar Setiausaha Agung parti itu, Dr. Fuziah Salleh.

Menurut Hassan, proses tersebut berjalan selama satu jam setengah bermula pukul 3 petang dan dikendalikan enam anggota panel, empat secara bersemuka dan dua lagi secara maya.

Jelas beliau lagi, dua pertuduhan telah dibacakan terhadapnya, termasuk tulisan beliau di Facebook bertarikh 5 November 2024 yang turut dilaporkan sebuah portal.

“Tuduhan pertama, saya mengkritik Perdana Menteri kera­na meneruskan amalan kroni kapitalis dalam penganugerahan rangkaian kedua 5G kepada syarikat U Mobile. Dengan itu, saya telah memburukkan imej parti yang merupakan satu kesalahan disiplin dalam perlembagaan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Tuduhan kedua, saya telah menyentuh Raja-Raja Melayu apabila di dalam tulisan tersebut, saya telah mengaitkan institusi Yang di-Pertuan Agong memiliki saham kedua terbesar dalam U Mobile.

“Saya nyatakan dalam tulisan saya, (mengikut) Perkara 34(3) Perlembagaan Persekutuan Yang di-Pertuan Agong dilarang terlibat secara aktif di dalam perniagaan komersial walaupun saya tidak menyebut nama Yang diPertuan Agung atau menyebut perkataan Yang diPertuan Agong,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Proses itu kemudiannya jelas Hassan, diteruskan oleh Lembaga Disiplin bagi membincangkan tentang saranan daripada hasil perbicaraan untuk dibawa ke Biro Politik PKR.

“Seterusnya (ia dibawa) kepada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang dipengerusikan oleh Presiden Parti iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka berlangsung 24 November ini untuk membuat keputusan muktamad terhadap saya,” ujarnya.

Menurut Hassan, terdapat tiga tindakan yang mungkin dikenakan terhadapnya iaitu diberi amaran keras, digantung keahlian selama tempoh yang ditetapkan atau dipecat daripada parti PKR.

Semalam, akhbar ini melaporkan yang Setiausaha Agung PKR telah membuat aduan secara rasmi tentang tindakan Hassan kerana MPP parti tidak selesa dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan.

Jelas Fuziah, banyak aduan yang diterima daripada peringkat akar umbi sebelum ini, namun beliau tidak pernah membawa ia ke Lembaga Disiplin. – UTUSAN

Ulasan