Pada pilihan raya tersebut 29 Januari 2006 Hamas menang 74 daripada 132 kerusi di dewan perwakilan, manakala Fatah pula memperolehi 45. Namun Hamas dinafikan membentuk kerajaan.
Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, situasi serupa juga berlaku di Algeria pada 1992 di mana tentera membatalkan kemenangan parti Islam.
Begitu juga pilihan raya umum Indonesia pada 1955, di mana Masyumi mendapat undi kedua terbanyak, namun dinafikan kuasa sehingga parti itu dibubar pemerintah pada 1960 atas alasan terlibat dalam pemberontakan.
“Suasana serupa juga berlaku di negara kita, selepas PAS menguasai Terengganu pada pilihan raya umum (PRU) 1999, kerajaan pusat menafikan bayaran royalti petroleum kepada negeri itu.
“Keadaan serupa berlaku di Kelantan selepas PAS menang pada PRU 1990 di mana banyak peruntukan pembangunan dinafikan,” katanya pada ceramah perdana sempena ulang tahun ke-34 dasar Membangun Bersama Islam (MBI) di Putik malam tadi.
Turut hadir Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakub, Timbalan Pesuruhjaya Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor, Ketua Penerangan PAS negeri Mohd Asri Mat Daud dan wakil-wakil rakyat.
Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, penguasaan politik Islam di peringkat pusat begitu penting bagi memastikan keadilan pemerintahan Islam dapat ditegakkan.
Menurutnya juga tindakan kerajaan menaikkan kadar cukai bagi menambah hasil negara tidak selaras dengsn konsep Islam.
“Kalau hendak tambah hasil negara kena rancakkan sektor perniagaan dan bukan menaikkan kadar cukai sehingga membebankan rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan