Sampai bila mahu minta maaf?



Sampai bila mahu minta maaf?
Oleh Ismail Daud
5 November 2024, 7:10 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


Apa salahnya kibar bendera negara lain di negara ini, tanya seorang rakan. Katanya, kita tidak perlulah sensitif sangat dengan perkara-perkara seperti itu. Dia menganggap isu kibaran bendera China dalam satu acara di Teluk Intan dan kemudian di Johor Bahru sebagai kecil dan terpencil, selain remeh dan sengaja dibesar-besarkan.

Dia juga memberi contoh bagaimana rakyat Malaysia juga ada mengibar Jalur Gemilang ketika di luar negara dan apa bezanya rakyat sesebuah negara mengibar bendera negaranya ketika memberi sokongan kepada pasukan kebangsaannya dalam acara-acara sukan di negara lain.

Perkara itu menjadi hangat apabila ahli-ahli politik mengambil kesempatan demi kepentingan politik mereka, katanya lagi. Ini terbukti apabila ada geng politik membuat tindakan balas dengan mengibarkan pula Jalur Gemilang di tempat yang sama beberapa hari kemudian.

Terdiam seketika mendengar hujahan rakan saya itu tetapi dalam masa yang sama terpaksa mengakui ada sedikit kebenaran dalam kata-katanya itu.

Mungkin tidak salah mengibar bendera negara sendiri di mana-mana lokasi di dunia ini. Itu tanda kecintaan kepada negara. Tetapi dalam masa yang sama, semua orang perlu juga peka terhadap budaya dan sensitiviti di sesebuah negara.

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum. Walaupun perpaduan kelihatan kukuh, hakikatnya ia masih agak rapuh. Sebarang tindakan yang tidak mengambil kira sensitiviti rakyat sering dianggap sebagai satu provokasi.


Apabila ada pihak cuba membangkitkan kemarahan pihak lain sama ada dengan niat untuk menguji dan cuba mencapai agenda tersembunyi, kemungkinan untuk berlaku tindak balas adalah besar dan jika tidak dikawal, boleh membawa kepada kesan buruk.

Menjawab soalan rakan saya itu, saya katakan, insiden provokasi seperti di Teluk Intan itu sudah banyak kali berlaku terutamanya membabitkan kejadian me­ngibar bendera China.

Selain itu, pernah juga ada insiden kibar bendera terbalik, melakukan khianat di masjid dan surau sehinggalah kepada insiden ‘terlupa’ memasukkan persembahan budaya Melayu dalam Festival George Town.

Dalam semua kejadian itu, pihak terlibat hanya me­minta maaf dan memberikan pelbagai alasan untuk mewajarkan permohonan maaf itu diterima. Selang beberapa waktu, kejadian sama berulang lagi. Minta maaf lagi.

Sampai bila tindakan provokasi yang disusuli dengan permohonan maaf melibatkan isu terkait sensiviti orang Melayu dan rakyat Malaysia akan terus berulang. Sampai bila mahu minta maaf.

Mohon maaf memang mudah. Mohon maaf juga adalah tindakan yang dituntut. Kalau ada yang berhajat untuk menambah ‘cawangan’, meminta maaf adalah langkah yang lebih wajar kerana meminta izin tidak mungkin berjaya.

Namun, dalam kes kibar bendera negara lain di negara ini yang sudah berlaku beberapa kali, maaf bukan lagi solusinya walau masih perlu diucapkan. Begitu juga hukuman denda atau penjara.

Dalam usia kemerdekaan negara sudah mencapai 67 tahun, Malaysia tidak sepatutnya berperang lagi dengan hal-hal sensitiviti perkauman. Kemerdekaan negara dan perpaduan yang terbentuk terlalu mahal untuk dipersiakan. – UTUSANIsmail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia

Ulasan