Siap sedia hadapi banjir musim tengkujuh bermula hari ini



Siap sedia hadapi banjir musim tengkujuh bermula hari ini
November 5, 2024

Banjir pada musim tengkujuh yang telah melanda beberapa buah negeri di Malaysia pada tahun 2021 menyebabkan kerugian terkumpul mencecah RM1.6 bilion dan sekurang-kurangnya 48 nyawa terkorban.

KUALA LUMPUR: Organisasi yang sudah 10 tahun terlibat secara langsung dalam menangani bencana banjir, Khidmat Malaysia telah mengambil langkah kesiapsiagaan lebih awal dalam menyediakan petugas dan sukarelawan pada tahun ini bagi menghadapi banjir musim tengkujuh yang dijangka bermula hari ini.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ia adalah susulan maklumat yang telah dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 1 November 2024, Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula hari ini, Selasa (5 Nov) dan berterusan sehingga Mac depan.

Menurutnya, Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip menyatakan ramalan MetMalaysia bahawa MTL yang akan berlaku ini mungkin akan menyebabkan lima hingga tujuh episod hujan lebat; dan sekiranya hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari, ia boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

“Lebih membimbangkan, jika hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut serta risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem,” katanya dalam satu kenyataan.

MetMalaysia juga, ujar Khairul Faizi, telah meramalkan bahawa fasa awal MTL dalam masa dua bulan ini (November-Disember) akan mengakibatkan episod hujan lebat yang dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah; manakala pada Januari dan Februari tahun hadapan, episod hujan lebat lebih berpotensi melanda Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Khairul Faizi Ahmad Kamil

“Apa yang lebih membimbangkan apabila seorang pakar klimatologi, Prof Dr Fredolin Tangang menjangkakan bahawa banjir besar yang melanda Selangor dan Kuala Lumpur pada Disember 2021 berpotensi untuk berulang kembali,” tegasnya.

Beliau menyatakan, Khidmat Malaysia telahpun membuat persiapan pada tahun ini dengan mengadakan Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia edisi ke 5 (HEBAT 5.0) yang merupakan acara tahunan Khidmat Malaysia dan telah diadakan di Pulau Jahe, Chenor, Pahang pada 2 Ogos sehingga 4 Ogos 2024 dengan menghimpunkan seramai 300 orang petugas bencana banjir dari seluruh negara.

“Malah anggota dan sukarelawan Khidmat Malaysia telahpun berada di lapangan sejak bencana banjir melanda negeri-negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia terutamanya negeri Kedah yang dilanda beberapa kali gelombang banjir serta negeri Pahang terutamanya di kawasan Temerloh, Jerantut dan Mentakab.

Khidmat Malaysia juga telah dijemput untuk menghadiri dua acara yang telah disusun oleh NADMA bagi tujuan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi bencana banjir.

“Pertamanya, Perasmian Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2024 yang telah diadakan di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi pada 4 Oktober 2024 dan Konvensyen Rakan NADMA di Putrajaya pada 8 Oktober 2024,” ujarnya
.Musim tengkujuh tahun lepas turut menyaksikan banjir teruk yang menenggelamkan kediaman penduduk di Kampung Batu, Temerloh, Pahang pada 21 Disember 2021.

Sementara itu, bagi memperkemaskan pengurusan SOP ketika berlakunya bencana banjir, Khairul Faizi berkata, Khidmat Malaysia telah memulakan program Jelajah Persiapan Banjir dan Taklimat SPHERE bermula di Kota Bharu, Kelantan.

“Tidak seperti tahun-tahun terdahulu, jelajah pada tahun ini menghimpunkan seluruh Ahli Lembaga Pengarah Khidmat Malaysia di peringkat negeri dan Jawatankuasa Penyelaras di peringkat Kawasan/Parlimen untuk memastikan bahawa setiap arahan yang merangkumi SOP dan tatacara urus bencana dapat diselaraskan mengikut tahun semasa.

“Tahun ini, standard prinsip asas gerakan bantuan kemanusiaan (SPHERE) diperkenalkan kepada penggerak Khidmat Malaysia di seluruh negara sebagai langkah untuk menambah baik operasi Khidmat Malaysia di lapangan,” jelasnya.Khidmat Malaysia merupakan organisasi yang sudah berpengalaman selama 10 tahun terlibat secara langsung dalam menangani bencana banjir di Malaysia.

Beliau menyatakan lagi, khidmat Malaysia di peringkat negeri dan kawasan di seluruh negara telah pun dipastikan segala persiapan termasuklah menyediakan tenaga kerja, sukarelawan dan peralatan yang bersesuaian dengan operasi bencana nanti dipertingkatkan segera.

“Bilik Gerakan Negeri (BGN) dan Bilik Operasi Kawasan, kelengkapan dan peralatan pentadbiran di peringkat kawasan hendaklah terus dipersiapkan.

Menurutnya, BGN perlu memulakan operasi sebulan sebelum MTL iaitu pada bulan Oktober manakala Bilik Operasi di peringkat Kawasan perlu beroperasi dua minggu sebelum MTL.

“Justeru, kami merayu kepada semua pihak agar dapat menghulurkan sumbangan ke akaun Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia); (Maybank: 5623 8454 2866) atau 12225010037517 (Bank Islam) untuk membantu mangsa bencana dan sukarelawan yang terlibat.

“Sumbangan juga boleh salurkan di link: https://infaqpay.my/go/khidmatmalaysia. Sebarang maklumat atau pertanyaan berkaitan bencana banjir boleh disalurkan ke Hotline Khidmat Malaysia di talian 011-14174789,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataannya bahawa langkah meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim MTL dengan memberi tumpuan kepada 4,619 lokasi kerap banjir yang telah dikenal pasti di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, data daripada Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan jumlah lokasi banjir berkenaan berkurangan berbanding 5,648 lokasi pada 2023.

Menurut beliau, bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini, pihaknya bersiap sedia dengan keanggotaan keseluruhan seramai 24,263 orang yang merangkumi 13,646 Pegawai Sepenuh Masa (PSM), 2,196 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan 8,421 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS). – HARAKAHDAILY 5/11/2024

Ulasan