Siapa calon Presiden AS pilihan pemimpin dunia?




Siapa calon Presiden AS pilihan pemimpin dunia?
Oleh ATHIRAH HUDA ZALHE
5 November 2024, 8:51 am

WASHINGTON: Dunia kini memerhati dengan penuh minat persaingan sengit antara calon Demokrat, Kamala Harris dan pencabarnya daripada Republikan, Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).

Ini kerana, perlumbaan kedua-dua tokoh politik ini bukan sahaja bakal memberi kesan kepada rakyat Amerika, tetapi juga terhadap hubungan antarabangsa.

Justeru, siapakah calon yang sebenarnya diinginkan oleh pemimpin-pemimpin dunia untuk dipilih menjadi Presiden baharu AS dan berada di White House?

RUSSIA

Walaupun sebelum ini Presiden Russia, Vladimir Putin secara sinis mahukan Harris sebagai Presiden, banyak petanda menunjukkan beliau sebenarnya lebih menyokong kemenangan Trump.

Rakan sekutu dalam Program Russia dan Eurasia di Catham House, Timothy Ash percaya Putin lebih gembira jika Trump kembali menjadi Presiden disebabkan pelbagai faktor.


“Pertama, Putin berpendapat Trump berlembut dengan Russia dan akan mengalah untuk memberikannya tawaran yang baik mengenai Ukraine – mengurangkan sokongan ketenteraan kepada Ukraine dan menghapuskan sekatan terhadap Moscow,” katanya.

Sebelum pilihan raya 2016, Putin memuji Trump dan menyifatkan bekas Presiden AS itu seorang yang pintar dan berbakat.

Pada Julai 2016, komuniti perisikan AS menuduh Putin campur tangan dalam pilihan raya dengan tujuan membantu Trump mengalahkan pencabar Demokrat, Hillary Clinton.

Empat tahun lalu, laporan dwipartisan Senat AS mendapati Russia campur tangan dalam pilihan raya 2016 dan juga pada 2020.

CHINA

Presiden China, Xi Jinping belum membuat pengesahan secara terbuka. Seperti Russia, kedua-dua Demokrat dan Republikan turut bersikap tegas terhadap China.

Semasa menjadi Presiden, Trump memulakan perang perdagangan dengan Beijing, mengenakan tarif pada AS$250 bilion (RM1.08 trilion) import China pada 2018.

China bertindak balas, meletakkan tarif pada AS$110 bilion (RM479 bilion) import AS.

Apabila Joe Biden menjadi Presiden, beliau mengekalkan tarif Trump dan pentadbirannya mengumumkan kenaikan tarif terhadap produk tertentu buatan China pada 13 September lalu.

Sama ada Trump atau Harris, kedua-duanya tidak menjelaskan secara terperinci tindakan mereka terhadap China sekiranya dipilih menjadi Presiden.

ISRAEL

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana calon, namun banyak pihak percaya beliau cenderung kepada kemenangan Trump.

Netanyahu dan Trump mempunyai hubungan baik semasa pemerintahan calon Republikan itu.

Namun, hubungan kedua-duanya merosot selepas Biden dipilih kerana Trump merasa dikhianati dengan tindakan Netanyahu mengucapkan tahniah kepada Presiden AS tersebut.

INDIA

Walaupun Perdana Menteri India, Narendra Modi mempunyai hubungan rapat dengan Trump, beliau juga antara pemimpin dunia terawal yang mengucapkan tahniah kepada Biden atas kemenangannya dalam pilihan raya 2020.

Di bawah Biden, hubungan antara AS dan India semakin erat dalam bidang pertahanan, teknologi dan ekonomi.

Biden menjadikan India sebagai Rakan Pertahanan Utama, walaupun New Delhi bukan sekutu tentera rasmi dan bergantung kepada Russia untuk bantuan ketenteraan.

KOREA SELATAN

Korea Selatan adalah sekutu utama AS di Asia Pasifik.

Walaupun Presidennya, Yoon Suk-yeol tidak secara jelas menyokong mana-mana calon, hubungan antara Seoul dan Washington berkembang di bawah Biden.

Semasa pentadbiran Trump, rakyat Korea Selatan pernah kecewa dengan tuduhan mereka tidak menyumbang untuk pertahanan dan untuk menjaga pasukan AS, walaupun menyediakan sebahagian besar pasukan tempur barisan hadapan menentang Korea Utara.

JEPUN

Menurut Nippon Communications Foundation, kemenangan Trump mungkin akan mengalihkan fokus kepada dasar domestik dan mengurangkan kerjasama dengan Jepun, meningkatkan tarif serta mengharapkan Tokyo meningkatkan perbelanjaan ketenteraan.

Bagaimanapun, kerajaan Jepun membina hubungan baik dengan pegawai pentadbiran Trump sebelum ini. -AL JAZEERA

Ulasan