Singkirkan Israel dari PBB demi rakyat Palestin, kemanusiaan sejagat




Singkirkan Israel dari PBB demi rakyat Palestin, kemanusiaan sejagat
ANWAR IBRAHIM
Oleh AIMAN ALI
12 November 2024, 11:34 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera untuk menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kata beliau, gesaan itu bukan sahaja untuk rakyat Palestin secara khususnya malah demi kemanusiaan sejagat.

Beliau turutt menyifatkan Israel tidak tergolong dalam negara yang bertamadun dan kebiadabannya menuntut tindakan serta prinsip tegas untuk melindungi bukan sahaja Timur Tengah tetapi seluruh sistem global.

“Masyarakat antarabangsa perlu bertindak dengan pantas dan tegas. Sebagai langkah segera, kita perlu mendesa dan membina konsensus untuk menggantung bahkan menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Bukan sahaja demi rakyat Palestin, tetapi juga demi kemanusiaan sejagat. Kita wajib menghukum dan mencegah pelanggaran undang-undang serta norma antarabangsa yang dilakukan berulang kali oleh Israel.

“Rentetan kekejaman ini telah pun merebak ke beberapa negara termasuk Lubnan dan Iran. Jika dunia berpaling pada saat ini, keganasan ini tidak akan kekal terhad. Malah ia pasti akan menyemarak dan mengancam rantau ini termasuk ke keseluruh dunia,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.


Terdahulu, Anwar menyampaikan Kenyataan Negara bagi pihak seluruh rakyat Malaysia di Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi dengan mengakui bahawa keadaan yang dihadapi dunia Islam dan ummah pada saat ini adalah yang paling sukar dan mencabar.

Namun, katanya masih terdapat usaha berterusan yang dilakukan bagi mencari titik noktah kepada segala keganasan, kemusnahan dan kesengsaraan yang dihadapkan kepada warga Palestin.

Selain itu, kata Anwar, Israel juga telah melampaui batas, melampaui akal, melampaui kemanusiaan dan secara terang-terangan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.

“Pembantaian ini menyebabkan kita tiada pilihan selain menuntut tindakan pantas dan berkesan masyarakat antarabangsa termasuk sekatan, penggantungan dan juga pengusiran.

“Malah mereka kini telah menyerang nadi utama bagi kelangsungan hidup Palestin dengan menyasarkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA),” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, adalah penting untuk menggandakan usaha membantu membangunkan semula Gaza daripada kehancuran.

“Yang amat penting ialah melaksanakan rencana ini tanpa sebarang kelewatan. Kita mesti bersama, bukan sahaja sebagai umat Islam tetapi juga sebagai sesama insan, bersatu serta berpegang kepada kebenaran untuk dunia yang lebih aman dan lebih baik bagi anak-anak kita serta generasi yang akan datang,” katanya. – UTUSAN

Ulasan