‘Tangkap muat’: Rosol gesa Zahid bersedia dipanggil ke PAC
November 14, 2024
KUALA LUMPUR: Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) menggesa Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk bersedia dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan kenyataan beliau yang mengatakan PAC hanya ‘tangkap muat’ dalam menjalankan penyiasatan.
Menurutnya, ahli parlimen Perikatan Nasional merasa bertanggungjawab untuk menjelaskan bahawa laporan dan dapatan PAC berkaitan Semarak 20 adalah hasil prosiding yang terperinci.
Beliau menegaskan bahawa program Semarak 20 yang dilancarkan sejak 2019, masih belum menunjukkan hasil positif sehingga kini, mengakibatkan kerugian kepada peserta FELCRA.
“Jadi sini ingin saya nyatakan bahawa kekhilafan TPM I berkaitan dengan Semarak 20 tersebut kita mencadangkan kepada PAC untuk panggil Yang Amat Berhormat TPM, Datuk Seri Zahid untuk menyatakan apakah fakta-fakta yang dikatakan tangkap muat tersebut kerana daripada kajian yang kita lakukan mendapati bahawa Semarak 20 ini telah pun siap sejak 2019 lagi dan sehingga sekarang tak terjual.
“Peserta-peserta dan FELCRA mengalami kerugian. Itu, kita memohon sungguh-sungguh kepada PAC dan kita harap TPM juga bersedia untuk dipanggil ke PAC,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen, hari ini. (Foto atas)
Beliau turut menyatakan kebimbangan bahawa kenyataan tersebut mungkin bertujuan melindungi individu tertentu yang terlibat dalam politik dan berkaitan dengan FELCRA.
“Kita berharap supaya suatu ketelusan, suatu kata yang betul-betul telus dapat diperjelaskan kepada rakyat terutamanya pada peserta-peserta FELCRA.
“Di sini kita ada pengerusi-pengerusi FELCRA pengerusi-pengerusi parlimen yang ada FELCRA di kawasan mereka. Jadi semuanya terkesan dengan kenyataan tersebut,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan Zahid yang seolah-olah mempertikaikan kredibiliti pegawai-pegawai kerajaan yang dipanggil PAC, termasuk Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, yang memberikan maklumat berkaitan. – HARAKAHDAILY 14/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan