Thailand bina benteng sungai lebih tinggi



Thailand bina benteng sungai lebih tinggi
November 24, 2024

KOTA BHARU: Projek benteng banjir di sebelah Thailand sekarang sudah dilaksanakan bagi fasa kedua di mana ia lebih tinggi berbanding benteng sedia ada di negara terbabit.

ADUN Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad berkata, kerajaan Thailand sudah melaksanakan benteng fasa kedua yang jauh lebih tinggi.

Kamaruzaman Mohamad

“Kalau kita duduk di tebing Sungai Golok di Rantau Panjang akan nampak keadaan benting di sebelah Thailand yang jauh lebih tinggi. Keadaan ini akan membahayakan penduduk di Rantau Panjang.

“Air dari Sungai Golok akan melimpah ke sebelah Rantau Panjang memandangkan banteng di sebelah Thailand lebih tinggi,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Belanjawan 2025 pada sidang DUN hari ini.

Pada Disember 2022 Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilapor mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

Katanya, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

Sedangkan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok begitu penting bagi mengelakkan banjir yang berulang setiap kali musim tengkujuh di Rantau Panjang dapat dielakkan.

Malah ada benteng di Rantau Panjang yang siap dibina pecah akhir Disember lepas sehingga menyebabkan berlaku banjir termenung dalam tempoh begitu lama.

Kamaruzaman berkata, menjadi tanggungjawab bersama kerajaan pusat dan negeri memastikan projek tebatan banjir dapat disiapkan bagi mengatasi masalah banjir.

“Penduduk terdedah dengan bahaya apabila jumlah air dari Sungai Golok akan melimpah masuk ke Rantau Panjang memandangkan benteng banjir di sebelah Thailand jauh lebih tinggi,” ujarnya.

Beliau juga berkata, Kelantan berjaya mengetengah model perpaduan nasional di mana rakyat pelbagai bangsa dan agama hidup dalam suasana harmonis.

Menurutnya ada mek (wanita) bangsa India dan Cina boleh bercakap bahasa Melayu Kelantan dengan baik.

“Tahniah kerana Kelantan berjaya mengentengahkan model ini ke peringkat nasional dan boleh dicontohi di negeri-negeri lain,” ujarnya.

Sebelum itu ADUN Pulai Chondong Azhar Salleh mencadangkan kerajaan membina laluan bertingkat di simpang tiga Labok-Selising kerana sering berlaku kesesakan di lokasi terbabit.

Kata beliau pengguna jalan raya yang melalui kawasan terbabit sering terkandas sehingga lebih sejam kerana berlaku kesesakan di simpang tersebut.

“Saya hanya menyampaikan hasrat rakyat supaya kesesakan di simpang Labok-Selising dapat difikirkan sesuatu termasuk membina laluan bertingkat di lokasi terbabit,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/11/2024

Ulasan