Tiga calon Muslim dipilih semula ke Dewan Perwakilan AS



Tiga calon Muslim dipilih semula ke Dewan Perwakilan AS
Oleh Wartawan Luar Negara
6 November 2024, 4:27 pm

WASHINGTON: Tiga calon Muslim dipilih semula ke Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) dalam Pilihan Raya Kongres, semalam.

Wakil Demokrat, Rashida Tlaib, satu-satunya rakyat Palestin-Amerika dalam Kongres, mempertahankan kerusinya di Daerah Kongres ke-12 Michigan.

Beliau menjadi antara suara utama yang menentang bantuan ketenteraan Amerika kepada Israel, susulan peperangan berterusan terhadap Gaza sejak tahun lalu.

Ilhan Omar, salah seorang daripada dua wanita Muslim pertama dalam Kongres, memenangi penggal ketiga mewakili negeri Midwestern, Minnesota.

Ahli Kongres Demokrat itu dalam hantaran di platform X, mengucapkan terima kasih kepada penyokong serta pengundinya.

“Ini adalah kemenangan untuk kita semua yang percayakan masa depan yang lebih baik. Saya tidak sabar untuk membuat anda semua bangga dalam dua tahun akan datang,” katanya.

Ilhan adalah salah seorang ahli Dewan yang progresif dikenali sebagai Skuad dan pengkritik tegas terhadap perang Israel di Gaza.

Wakil Demokrat, Andre Carson juga dipilih semula di Daerah ke-7 Indiana, dengan menewaskan pencabar daripada Republikan, John Schmitz.

Carson pertama kali dipilih ke Kongres pada 2008 selepas kematian penyandang terdahulu iaitu neneknya, Julia Carson.– ANADOLU

Ulasan