Trump sedia usir jutaan pendatang di AS


Trump sedia usir jutaan pendatang di AS
KERETA polis Kanada kelihatan berhampiran sempadan Rainbow Bridge yang melintasi AS di Niagara Falls, Ontario. - AFP
Oleh NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN
20 November 2024, 10:00 am

WASHINGTON : Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedia mengisytiharkan darurat bagi memenuhi janji kempen pilihan rayanya untuk melaksanakan operasi deportasi besar-besaran.

Trump membuat pengumuman itu menerusi satu hantaran ringkas dalam platform media sosialnya, Truth Social.

Kenyataan tersebut memberikan gambaran paling jelas setakat ini mengenai rancangan Trump untuk melaksanakan operasi deportasi terbesar dalam sejarah AS.

Langkah itu mengundang kecaman daripada kumpulan hak asasi manusia serta menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian, kos dan batas kuasa seorang Presiden.

Trump dijangka berdepan cabaran undang-undang yang besar berhubung pelaksanaannya.

Felo Kanan di Majlis Imigresen Amerika, Aaron Reichlin-Melnick berkata, undang-undang AS hanya membenarkan Presiden menggunakan kuasa darurat dalam situasi tertentu.

“Menggunakan tentera untuk deportasi bukan salah satu daripadanya,” katanya menerusi ciapan di media sosial sebagai reaksi kepada kenyataan Trump.

Walaupun Trump sudah lama menabur janji itu semasa kempen pilihan raya, beliau belum memberikan butiran lanjut tentang kaedah rancangan itu akan dilaksanakan sejurus memulakan tugas, Januari nanti.

Dianggarkan 11 juta hingga 13 juta penduduk tanpa dokumen tinggal di AS dengan kumpulan hak asasi manusia memberi amaran mengenai kesan kemanusiaan yang bakal timbul daripada operasi deportasi besar-besaran ini, yang memerlukan peningkatan kos dan kapasiti penguatkuasaan serta penahanan secara drastik.

Laporan Majlis itu mendapati, kadar deportasi meningkat kepada sejuta orang setahun iaitu empat kali ganda kadar semasa dan kosnya dianggarkan mencecah hampir AS$1 trilion (RM4.46 trilion) dalam tempoh sedekad.

Trump turut berjanji untuk menggunakan Akta Musuh Asing 1798, sebuah undang-undang lama yang membolehkan Presiden mengusir penduduk negara musuh tanpa proses bias.

Namun, Pakar Undang-Undang menjelaskan undang-undang itu tidak sah untuk pelaksanaan pengusiran besar-besaran. -AGENSI

Ulasan