Tun Daim berjuang hingga akhir hayat



Tun Daim berjuang hingga akhir hayat
DAIM ZAINUDDIN
Oleh Omar Zin

14 November 2024, 8:00 am

PADA 16 Julai 1984, Tun Daim Zainuddin dilantik sebagai Menteri Kewangan di usia 46 tahun, hasil rombakan Kabinet oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, hanya dua tahun selepas membentuk kerajaan susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1982.

Ini disebabkan pemilihan UMNO pada Mei 1984, yang menyaksikan Dr. Mahathir mempertahankan jawatan presiden, dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Musa Hitam sekali lagi menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) selaku Menteri Kewangan dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden, selepas bertanding dalam jawatan yang sama dalam pemilihan parti pada 1981.

Dr. Mahathir ketika menyampaikan ucapan dalam perhimpunan agung UMNO, menyebut bagaimana wujudnya politik wang yang digunakan oleh sesetengah calon dalam kempen pemilihan, memberi bayangan bahawa beliau perlu membuat rombakan untuk mengurangkan kesan perebutan jawatan dalam parti dan kerajaan.

Dua bulan kemudian, Dr. Mahathir membuat kejutan apabila rombakannya menyaksikan Ku Li yang sudah memegang jawatan Menteri Kewangan sejak 1976 dan dianggap sesetengah pihak telah banyak menyumbang kepada ekonomi negara ketika itu, dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Industri.

Dr. Mahathir ketika itu dikatakan mahu jawatan penting dalam Kabinet dibarisi golongan yang lebih profesional dan teknokrat, berbanding mana-mana Kabinet sebelum ini, namun paling penting mereka dapat melaksanakan dasar seperti yang dimahukan beliau. Daim menjadi salah seorang daripadanya.

Ketika itu, Daim baru sahaja memulakan kerjayanya sebagai ahli Parlimen, memenangi kerusi Parlimen Kuala Muda di negeri kelahirannya Kedah, dengan majoriti 14,058 undi menewaskan calon Pas, Gazzhali Dinn.

Sebelum itu, Daim hanya dikenali sebagai seorang peguam serta ahli perniagaan. Dr. Mahathir mula mengenali beliau ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, di bawah pentadbiran Tun Hussein Onn.
Daim menjadi Menteri Kewangan pada 1984, ketika negara baru dilanda kemelesetan ekonomi selain berdepan dengan skandal Bank Bumiputera Malaysia Finance (BMF).

Sepanjang tempoh beliau menjadi Menteri Kewangan, negara menyaksikan pelancaran kereta nasional Proton Saga, pembukaan Jambatan Pulau Pinang, pengenalan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Langkawi menjadi pulau bebas cukai dan pembukaan Petronas di Kerteh, Terengganu.

Begitu juga dengan pelancaran Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan meneruskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga ia berakhir pada 1990.

Jawatan Menteri Kewangan disandang oleh Daim buat kali kedua selepas PRU pada 1986 dan diteruskan buat kali ketiga selepas PRU pada 1990.

Namun, enam bulan selepas PRU iaitu pada Mac 1991, beliau membuat keputusan untuk meletakkan jawatan. Beliau menyifatkan ekonomi negara sudah berada dalam keadaan baik dan stabil ketika itu.

Kajian oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika itu menyebut bahawa ekonomi Malaysia mengalami perubahan mendadak kerana prestasi cemerlang hasil daripada polisi yang dibawa kerajaan.

Daripada pertumbuhan ekonomi yang negatif dan defisit pada awal 1980-an, ekonomi Malaysia kembali melonjak dengan purata kadar pertumbuhan 8.3 peratus dalam tempoh lima tahun menjelang 1990 dengan jangkaan pertumbuhan 8.5 peratus pada 1991.

Ia sekali gus meletakkan Daim sebagai Menteri Kewangan yang berwibawa, apabila berjaya membantu kerajaan yang ditadbir Dr. Mahathir. Beliau membawa ekonomi negara ke tahap lebih baik berbanding sebelumnya. Beliau kemudian digantikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr. Mahathir Mohamad turut meluahkan rasa dukacita selepas kehilangan sahabat baik yang sama-sama berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

KEMBALI SEBAGAI MENTERI KEWANGAN
Selepas Anwar dipecat sebagai Menteri Kewangan pada 2 September 1998, Dr. Mahathir pada mulanya melantik Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai pengganti, namun beberapa bulan kemudian, pada Januari 1999, beliau berjaya memujuk Daim untuk kembali berkhidmat sebagai Menteri Kewangan.

Daim ketika itu merupakan ahli Parlimen Merbok. Beliau memegang jawatan itu selama setahun, terutama selepas negara dilanda krisis kewangan Asia. Selepas mempertahankan kerusinya pada pilihan raya 1999, beliau terus menyandang jawatan itu selama dua tahun lagi, sehingga Mei 2001. Beliau berkhidmat sebagai ahli Parlimen buat kali terakhir sehingga 2004.

PRU14 DAN SIASATAN PIHAK BERKUASA
Nama Daim kembali menjadi sebutan selepas 17 tahun menyepi apabila beliau dipecat daripada UMNO kerana menjadi salah seorang ahli parti yang menyokong Dr. Mahathir, yang mengetuai Pakatan Harapan (PH) ketika bertanding dalam PRU14.

Selepas kemenangan PH dalam PRU14, beliau dilantik sebagai anggota majlis penasihat kerajaan bagi membantu pembentukan kerajaan baharu, sekali lagi diterajui oleh Dr. Mahathir pada 2018.

Reputasi Daim bagaimanapun tercalar apabila beliau mula disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu. Beliau juga didakwa di mahkamah awal tahun ini kerana gagal mengisytiharkan asetnya.
Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Beliau kekal dengan pendiriannya sehingga akhir hayatnya. Allahyarham meninggal dunia di usia 86 tahun.

Sumbangan Allahyarham sebagai Menteri Kewangan dalam menaikkan ekonomi negara sepanjang hidupnya akan sentiasa diingati dan dihargai.-UTUSAN

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Ulasan