Undang-undang martabatkan bahasa Melayu masih lemah


Undang-undang martabatkan bahasa Melayu masih lemah
Oleh Mohammad Noh Othman - November 12, 2024 @ 11:55am
Undang-undang martabatkan bahasa Melayu masih lemah menurut Ahli Lembaga Pengelola DBP, Prof Madya Dr Ramalinggam Rajamanickam.

KUALA LUMPUR: Undang-undang yang diwujudkan bagi memartabatkan bahasa kebangsaan dilihat mempunyai empat kelemahan utama dan tidak menyeluruh.

Munsyi dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Madya Dr Ramalinggam Rajamanickam yang juga Pensyarah Pusat Kajian Undang-Undang Malaysia dan Perbandingan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berpendapat masih wujud kesenjangan dalam peruntukan undang-undang bahasa kebangsaan.

Katanya, secara umum kedudukan bahasa Melayu dimartabatkan selari dengan Perkara 152 (1) yang secara nyata memperuntukkan bahawa "bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu" bagi negara ini.

Justeru katanya, usaha untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa kebangsaan seharusnya dikemaskan dengan kewujudan d undang-undang yang sesuai dan menyeluruh.

Namun apa yang berlaku sekarang terdapat beberapa kelemahan yang nyata.

"Pertama, ketiadaan peruntukan mengenai sanksi (penalti), hal ini mewujudkan kesenjangan dalam peruntukan mengenai hal berkaitan.

"Ketiadaan hukuman penalti boleh melemahkan penguatkuasaan undang-undang mengenai bahasa kebangsaan kerana tanpa hukuman yang jelas, tiada kuasa untuk memaksa individu atau organisasi mematuhi peruntukan yang digubal," katanya ketika pembentangan kertas kerja khas sempena Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan 2024 di Dewan Seminar Datuk Hassan Ahmad, Menara DBP, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ramalinggam berkata, pelanggaran terhadap penggunaan bahasa kebangsaan tidak dianggap sebagai suatu kesalahan serius akan menjejaskan imej dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus tidak dapat menangani sikap sambil lewa dalam kalangan masyarakat terhadap penggunaan bahasa kebangsaan.

"Dalam jangka masa panjang, situasi ini boleh menyebabkan bahasa kebangsaan tidak lagi menjadi keutamaan.

"Khususnya dalam kalangan generasi muda yang mungkin lebih tertarik kepada penggunaan bahasa Inggeris atau bahasa lain dalam kehidupan seharian.

"Akibatnya, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terjejas kerana kewajipan untuk mematuhi peruntukan undang-undang yang dikanunkan tidak diikuti dengan penalti jika berlaku pelanggaran kewajipan itu," katanya.

Katanya lagi, kelemahan kedua ialah berkaitan peruntukan yang memberikan kuasa budi bicara yang luas kepada menteri ataupun pihak berwajib.

Jelasnya, meskipun kewujudan peruntukan budi bicara mempunyai kesan yang positif, dalam masa sama ia turut menjadi suatu cabaran dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.
"Ia dapat dilihat dalam Akta 32 yang membenarkan penggunaan berterusan bahasa Inggeris dalam hal keadaan tertentu, ini jelas menunjukkan wujudnya peruntukan yang memberikan kuasa budi bicara kepada menteri, hakim ataupun pihak lain dalam memberikan pengecualian daripada menggunakan bahasa kebangsaan," katanya.

Justeru, katanya peruntukan berkenaan perlu dikaji semula supaya kuasa budi bicara yang boleh digunakan secara luas ini tidak menjejaskan kedudukan bahasa kebangsaan.

Kelemahan ketiga pula katanya, berkaitan dengan kekaburan dari segi tafsiran peruntukan undang-undang yang termaktub untuk memberikan kejelasan dari segi amalan seperti timbul kekaburan dari segi tafsiran mengenai istilah bahasa Melayu.

"Apakah sebenarnya tafsiran bahasa Melayu di Malaysia?

"Adakah bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia termasuk dialek yang diamalkan oleh masyarakat atau bahasa kebangsaan hanya terhad kepada bahasa Melayu formal dan baku?," katanya.

Ramalinggam berkata, persoalan ini timbul kerana Perkara 152 hanya menyatakan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa merincikan tafsiran bahasa Melayu itu.

Katanya, undang-undang mestilah jelas dari segi skop dan pemakaiannya supaya ia dapat dilaksanakan dengan adil dan berkesan.

"Sekiranya terdapat kekaburan dalam peruntukan undang-undang itu, maka ia tidak dapat dibuat dengan sewajarnya, ini harus ditangani untuk memastikan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dapat dijalankan dengan jayanya," katanya.

Katanya lagi, peruntukan undang-undang juga tidak menyeluruh dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di Malaysia.

"Misalnya, Akta 32 hanya mengandungi 11 seksyen dan tidak mencakupi semua sektor di Malaysia dalam konteks penggunaan bahasa kebangsaan.

"Akta ini juga tidak memperuntukkan sanksi atau penalti ataupun hukuman bagi apa-apa pelanggaran peruntukan yang terkandung dalamnya," katanya.

Ramalinggam berkata, Akta 32 adalah undang-undang penting yang secara langsung memperuntukkan mengenai bahasa kebangsaan, maka ia perlu lebih menyeluruh dan luas cakupannya.

"Walaupun Akta 32 mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan, tetapi ia tidak mempunyai kuasa yang cukup kuat untuk memaksa sektor swasta menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan mereka.

"Ia juga tidak mempunyai kuasa undang-undang yang mencukupi untuk memaksa sektor swasta mengutamakan bahasa kebangsaan.

"Sedangkan tanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Ulasan