Yang penting perjuangan bukan ‘orang Azmin’ atau Muhyiddin
Muhammad Hilman Idham
Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
10 November 2024, 8:07 am
MUKADIMAH
SEJARAH Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), baharu, MUHAMMAD HILMAN IDHAM dengan maestro politiknya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak boleh dipadam. Demikian kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu ketika orang ramai asyik melabelnya pengikut atau ‘kem’ Mohamed Azmin di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Namun, beliau tidak peduli pun. Selepas menang jawatan Ketua Armada dalam pemilihan parti, Muhammad Hilman kini membuka langkah bermula 100 hari pertama membawa sayap parti di atas jaluran politik dengan budaya kerja baharu.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, juruvideo, MOHD. FIKRI FADZIL dan jurugambar, M. FIRDAUS M. JOHARI baru-baru ini, beliau berkongsi aspirasi dan mengulas hubungan istimewanya dengan bekas timbalan presiden PKR itu.
MISI 100 HARI PERTAMA
MINGGUAN Malaysia: Apa langkah pertama Yang Berhormat (YB) selepas menang pemilihan Armada Bersatu?
MUHAMMAD HILMAN: Dalam tempoh 100 hari pertama sejak menang jawatan ini, saya akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin di peringkat negeri, bahagian atau cawangan yang mana, kami harus semak kembali tekad dan iltizam rakan-rakan seperjuangan di dalam sayap dan parti Bersatu, sekaligus mengenal pasti masalah dan penambahbaikan.
Saya berusaha memupuk budaya kerja dan budaya politik baharu di dalam kepemimpinan Armada di semua peringkat yang mana kami harus belajar membuat keputusan dan mempunyai tanggungjawab secara kolektif.
Masalah utama dalam politik termasuk di dalam parti apabila rally (penyatuan atau pemulihan) terlalu panjang dan ini memerlukan suntikan atau dinamisme baharu supaya semangat ahli parti meneruskan perjuangan dapat disemarak, sekali gus bergerak menuju pilihan raya umum (PRU) berjalan secara konsisten.
Selepas tempoh ini, ia akan disusuli dengan banyak program Armada khususnya dalam memberi latihan untuk mempersiap dan memberdaya kepemimpinan ahli.
100 hari pertama, apakah ini satu bentuk janji?
Saya tidak menjanjikannya dalam kempen saya pun. Sebagai parti massa dan mewakili majoriti rakyat khususnya orang Melayu dan Islam, Bersatu harus muncul sebagai parti dominan. Kami dilihat sebagai ganti kepada UMNO dalam pilihan raya lalu, namun realitinya, apakah di lapangan Bersatu benar-benar menggantikan UMNO?
100 hari pertama menjadi ukuran kepada hasil YB bawa? Bagaimana jika gagal?
Mana boleh gagal. Ia akan menjadi satu kayu ukur yang mana kami menetapkan parameter dan hala tuju bergerak di dalam tempoh setahun dua ini sehinggalah pilihan raya akan datang. Jadi, kayu ukur ini akan dapat ditafsir oleh ahli parti apabila mereka lihat inilah pendekatan dan struktur organisasi yang akan dilaksana sekali gus menang pilihan raya.
RETORIK
YB percaya dengan retorik?
Retorik…bunyinya sedap didengar, tetapi, jika mampu kami laksana, saya yakin ia (retorik) akan menjadi perkara lebih ampuh kami guna pada masa akan datang.
CABARAN
Apa cabaran bakal menanti?
Bersatu baru berumur lapan tahun sejak penubuhannya dan saya sentiasa diingatkan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa kali akan hal ini. Inilah cabaran besarnya.
ARMADA TIADA BUDAYA, KERJA POLITIK?
Selain itu adalah bagaimana kami menetapkan budaya kerja dan budaya politik sebenar di dalam Armada dan bagaimana kami dapat ‘memasak’ idealisme sebagai parti nasionalis dan inklusif.
Isunya ialah pengalaman Bersatu sebagai parti politik (masih kurang).
Sebab itu, di dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini, umum melihat seolah-olah Bersatu terlalu bergantung kepada Pas.
Bersatu mempunyai jentera tetapi, parti ini tidak terarah dan bertaburan tidak seperti Pas yang mana struktur organisasinya sudah mapan, bilangan jentera besar, maka arah dan hala tujunya jelas. Jadi, penting bagi kami menetapkan apakah pula bentuk budaya dan kerja politik di dalam sayap parti.
Saya yakin, jika perkara ini dapat ditetapkan, maka, Armada mampu muncul sebagai sayap yang bukan sahaja progresif dan berdikari, malah ‘terjun’ ke tangan rakyat dalam keadaan sudah bersedia menjadi kerajaan pada masa akan datang.
BERSATU LEMAH, BERPECAH BELAH
Kehadiran YB mengetuai Armada dalam keadaan Bersatu semakin lemah, retak dan berpecah belah. Iyakah?
Ini tidak benar. Ia bukan soal lemah, retak dan berpecah belah. Ini tentang pengalaman Bersatu kerana menjadi pembangkang dalam tempoh terlalu singkat. Sejak penubuhan Bersatu sebagai kerajaan yang mentadbir kemudian menjadi pembangkang.
Okay, apa maksud YB?
Ramai dalam kalangan ahli mulai mengalami kelesuan berpolitik, merasakan seolah-olah perjuangan ini hal yang membebankan, kerana mereka juga harus mencari ‘sesuap nasi’.
Bersatu pula bukan parti orang kaya, kami didukung oleh rakyat yang punya semangat perjuangan melawan kekritisan, penyelewengan dan mempertahan integriti. Sebab itu, apabila kami bukan lagi kerajaan, ada yang merasai kelesuan politik ini.
Tetapi, mereka masih kekal dalam Bersatu dan Armada kerana mereka ini pejuang yang sudah tentu setia dan tahap kesetiaan mereka diuji apabila tidak sesekali meninggalkan parti walaupun menjadi pembangkang.
MANIPULASI PEMILIHAN PARTI
Benarkah ada manipulasi dalam pemilihan sayap parti sehingga memenangkan YB?
Hingar-bingar di dalam politik ini perkara biasa, malah, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pun pernah menyebut politik atau demokrasi ini proses yang ‘bising’. Perkara ini sudah berlalu dan tiada manipulasi. Prosesnya berjalan amat telus.
Paling penting, selepas wisel penamat ditiup, adakah kita (Armada) mampu kembali sebagai pasukan yang kuat, utuh dan terus bergerak ke hadapan? Ini jauh lebih penting daripada membincangkan soal remeh-temeh dalam pimpinan atau apa juga pertandingan di dalam parti.
Ada berhubung dengan Akmal Zahin Zainal Zahir yang dilapor secara tidak rasmi menang jawatan Ketua Armada?
Ya, saya hubungi beliau dan responsnya juga positif. Laporan berita beliau menang sebelum ini adalah tindakan yang mendahului Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Bagaimana YB menambat semula hati segelintir ahli Armada yang membantah kemenangan YB dalam pemilihan sayap Armada?
Percayalah, tidak akan ada pemenang yang menang semua dan yang kalah tidak akan kalah kesemuanya. Tetapi, di dalam proses demokrasi yang subur dalam Bersatu, sebagai pembangkang, kami tetap mempunyai potensi dan bakat untuk menawarkan diri untuk jawatan utama dalam parti.
Jadi, selepas daripada proses demokrasi yang ‘bising’ ini, bagaimana kita menggarap semua kekuatan sebagai pasukan yang progresif dan dinamik dalam parti?
PEMUDA PAS TIDAK SUKA MOHAMED AZMIN?
Pemuda Pas dikatakan kurang berkenan dengan kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Komen?
Saya tidak berfikir ini benar-benar berlaku. Mohamed Azmin mempunyai hubungan sangat baik dengan Pas, sejak sejarahnya yang bermula sekitar 1998 dan 1999 lagi, malah, antara kerusi Pas yang pertama di dalam Selangor pun adalah di Gombak. Jadi, hubungan beliau dengan Pas baik. Tiada masalah, bahkan, pernah bersama-sama berada di dalam kerajaan Selangor.
Hanya itu ukurannya?
Menjelang PRU 2018 yang mana Pakatan Rakyat (PR) ketika itu berpecah dan Pas disingkirkan, tetapi, di Selangor mengambil pendirian tegas mempertahan mandat yang diberi rakyat dalam pilihan raya sebelumnya.
Maka, kami mempertahankan beberapa pimpinan Pas yang juga berada di dalam kerajaan negeri ketika itu. Inilah hal yang paling diingati Pas. Soal pemilihan saya pula, mungkin ada benarnya sesetengah pimpinan tidak selesa dengan cara saya bekerja, tetapi, realitinya, ada beberapa pemimpin Pas sendiri menghubungi dan mengucapkan tahniah atas kemenangan saya. Jadi, apa maknanya itu?
HUBUNGAN RETAK
Wujud kebimbangan hubungan sayap Bersatu dengan Pas mungkin retak selepas YB menang Ketua Armada. Apakah YB boleh bekerjasama dengan Pemuda Pas dan Gerakan?
Ini juga tidak sepatutnya berlaku. Cuba lihat dari segi sejarahnya, sebaik sahaja sayap Pemuda Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan, usai Ketua Pemuda PN pertama, Ir. Khairil Nizam Khirudin menerima watikah, beliau menghubungi saya dan ketika itu juga berlaku perbincangan menawar dan melantik saya sebagai Ketua Penerangan Pemuda PN secara langsung oleh pemimpin Pas kepada saya.
Jadi, tidak timbul isu Pemuda Pas tidak boleh bekerjasama dengan saya. Saya boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi mencapai matlamat PN menang pilihan raya, boleh duduk di atas landasan prinsip dan idealisme jelas yang memberi untung kepada rakyat.
TIDAK LANTANG
YB dikatakan kurang lantang bersuara dalam isu politik dan dasar-dasar negara. Benarkah?
Jadi, anda sendiri percayalah dakwaan itu? Saya cuma ‘dikatakan’, jadi, tidak bermakna ia benar. Persepsi ini perkara biasa. Seingat saya banyak isu saya bawa sama ada di dalam DUN Selangor atau secara umum.
Jejak rekod saya jelas. Saya bukan baru bersuara, malah ketika saya salah seorang pemimpin mahasiswa pun saya membawa isu Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 sehinggalah ke peringkat Mahkamah Persekutuan yang mana hakim memutuskan seksyen 15A harus dipinda dan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu juga terpaksa meminda AUKU disebabkan isu saya bawa.
YB ahli politik berpengalaman, tetapi tidak memegang jawatan dalam Bersatu sebelum ini. Mengapa?
Saya hanya memegang jawatan di peringkat bahagian, tetapi kena ingat, saya adalah Ketua Penerangan Pemuda PN pertama. Kami akan masuk ke medan pilihan raya sebagai PN, harus berada di barisan hadapan san saya sentiasa berada di situ.
Bagaimana YB menilai kepemimpinan Muhyiddin dan Hamzah?
Kedua-duanya penting bagi saya kerana mereka berdua mempunyai sinergi kepemimpinan yang bukan sahaja menggarap golongan elit politik, tetapi rakyat kecil supaya bersama-sama di dalam ketumbukan (pasukan) lebih besar pada masa hadapan.
BAYANGAN WAN AHMAD FAYHSAL
Bagaimana YB menandingi kepemimpinan dan kelantangan bekas Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal? YB mampu keluar daripada bayangan itu?
Setiap pemimpin ada keutamaan mereka, tetapi, berbeza dengan saya yang merupakan pemain pasukan. Saya bukan orang yang urus parti secara bersendirian. Budaya dan kerja politik saya bentuk adalah berpasukan. Kami akan mengangkat seluruh struktur organisasi untuk berperanan secara berkesan mengendali pelbagai isu termasuk gerak kerja menuju pilihan raya.
Apakah YB akan mengikuti kepemimpinan Pemuda UMNO?
Saya lebih selesa menggunakan cara sendiri.
‘PENTAKSUB’ MOHAMED AZMIN
YB selesakah asyik digelar pengikut atau pentaksub bagi kem Mohamed Azmin?
Saya suka anda tanya saya soalan ini. Sejarah saya bersama beliau memang tidak boleh dipadam kerana sejak saya berumur 23 tahun lalu, saya berkhidmat dengan beliau sehinggalah PN tidak lagi kembali di tampuk kuasa.
Saya bermula sebagai penulis ucapan beliau, setiausaha sulit di pejabat menteri besar, kemudian secara kebetulan diberi amanah bertanding di DUN Gombak Setia di bawah Parlimen beliau, malah saya kekal di DUN yang berdekatan dengan DUN beliau di Hulu Kelang. Untuk kita terus maju ke hadapan, kita tidak perlu bersikap apologetik (menyesali perbuatan yang sudah terlanjur) terhadap perkara ini.
Jadi YB memang pengikut setia beliau dan bukan keseluruhan pemimpin Bersatu?
Dengar cakap saya. Hari ini, di dalam Bersatu saya bukan hanya ‘orang’ Mohamed Azmin sahaja, tetapi, saya juga ‘orang’ Muhyiddin. Sebab itu saya sentiasa tegaskan, di dalam perjuangan ini, kita harus punya idealisme, prinsip jelas dan setia kepada pemimpin dan Mohamed Azmin salah seorang pemimpin dalam Bersatu. Kita boleh menjadi orang sesiapa sahaja asalkan berpegang kepada prinsip saya nyatakan.
Mengapa ada pihak berasa kurang selesa dengan anda mengikuti Mohamed Azmin?
Saya tidak pasti dan saya tiada masalah pun dilabel sebagai orang sesiapa. Sebagai orang muda, kita harus mempunyai prinsip dan memiliki pemimpin seperti Mohamed Azmin, Muhyiddin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin, kerana mereka ini selalu memberi ruang dan peluang untuk anak muda menimba pengalaman dalam politik. – Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan