30 kampung di Kuala Krai dijangka banjir Isnin hingga Jumaat ini


30 kampung di Kuala Krai dijangka banjir Isnin hingga Jumaat ini
07 Disember 2024 10:40pm
Masa membaca: 1 minit

KOTA BHARU - Hampir 30 kampung yang terletak dalam radius lima kilometer berhampiran Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Pahi di Kuala Krai dijangka mengalami banjir bermula Isnin hingga Jumaat ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia mengeluarkan kenyataan amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Khamis lepas.

Kenyataan itu memaklumkan kampung yang terlibat di kawasan Sungai Galas adalah Kampung Mambong, Kampung Dabong, Kampung Kemubu, Kampung Kuala Gris, Kampung Bahagia dan Kampung Biak.

Di Sungai Lebir, kampung yang terlibat adalah Kampung Tualang, Kampung Bekok, Kampung Manik Urai, Kampung Gajah, Kampung Laloh, Kampung Karangan, Kampung Manjor, Kampung Baru Sungai Mengkuang, Kampung Mesek, Kampung Temiang, Kampung Cheneh, Lata Rek, Kampung Lela Jasa, Kampung Budi dan Kampung Sungai Sam.

Kampung yang dijangka berlaku banjir di sekitar Sungai Pahi pula ialah Kampung Batu Mengkebang, Kampung Pahi, Kampung Gatal, Taman Perisai Wira, Dusun Damar, Kampung Belanga, Kampung Sungai Pas dan Kampung Temalir.

JPS turut memaklumkan banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada masa dijangkakan.

Amaran tersebut dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama yang di kawasan yang dijangka banjir mengambil langkah waspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa. - Bernama

Ulasan