Ada hubungan evangelis, Yahudi? Fikirkan! – Hanif



Ada hubungan evangelis, Yahudi? Fikirkan! – Hanif
December 26, 2024

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menyifatkan tindakan pemimpin utama DAP, Hannah Yeoh, berpotensi menggugat urusan agama Islam di Malaysia.

Beliau membuat kenyataan tersebut susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024 yang menolak saman fitnah difailkan oleh Ahli Parlimen Segambut itu terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Hanif berkata, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh firma guaman Tetuan Azam Aziz & Co, mahkamah menolak saman tersebut dengan mengambil kira beberapa alasan.

“Pertamanya, mahkamah mendapati kenyataan defendan tidak secara khusus merujuk kepada plaintif. Keduanya, tiada bukti kenyataan itu diterbitkan secara langsung oleh defendan kerana forum dianjurkan oleh UiTM.

“Ketiganya, kenyataan dibuat dalam konteks isu keselamatan negara sebagai bekas Ketua Polis Negara. Keempatnya, buku plaintif sendiri mengandungi pengakuan berkaitan ajaran Kristian yang menjadi asas kenyataan defendan,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Hanif berkata, dalam buku tersebut, Hannah Yeoh secara terbuka mengakui bahawa beliau mengajar agama Kristian secara halus di Malaysia dan bahawa beliau kembali ke tanah air selepas tamat pengajian di Australia dengan tujuan sebagai ‘Ambassador of God’.

Lebih lanjut terangnya, Hannah Yeoh menyatakan hasrat untuk menyebarkan ajaran agama Kristian melalui platform politiknya, dan buku tersebut bukan hanya ditujukan kepada penganut Kristian, tetapi kepada semua golongan rakyat Malaysia.

“Persoalannya, adakah dengan keputusan mahkamah dan faktor-faktor yang disebutkan membuktikan bahawa Hannah Heoh mempunyai hubungan dengan golongan evangelis dan Yahudi yang boleh merosakkan Islam dan negara Malaysia ini? Fikirkan!” gesanya. – HARAKAHDAILY 26/12/2024

Ulasan