ADUN Tendong beri semangat untuk pelajar tempuhi SPM
December 4, 2024
KOTA BHARU: ADUN Tendong, Rozi Muhamad berkesempatan meluangkan masa menyantuni calon-calon ujian bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang bermula kelmarin.
Lebih 60 pelajar di Kolej Vokasional (KV) Pasir Mas yang keluarganya masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir, tetap menunjukkan semangat tinggi untuk menduduki SPM.
Biarpun mengakui perasaan gundah bagi menghadapinya, namun mereka akan cuba sedaya mungkin untuk membuat yang terbaik pada peperiksaan ujian lisan itu.
Rozi berkesempatan melawat tempat pelajar akan menghadapi peperiksaan di KV yang juga menjadi asrama bagi pelajar terlibat dengan banjir.
Menurutnya, biarpun dalam situasi rumah dan keluarga mereka terkesan dengan bencana alam, para pelajar kelihatan teruja dan bertekad untuk memberi fokus penuh kepada peperiksaan.
Beliau turut memberi semangat pada pelajar terbabit agar pelajar terus memberi tumpuan kepada peperiksaan yang akan berjalan nanti.
“Lupakan sementara situasi banjir yang menimpa, dan fokus pada persiapan menjawab soalan peperiksaan.
“Ini adalah peluang untuk membuktikan bahawa kita semua mampu membanggakan keluarga dan sekolah dengan pencapaian cemerlang,” katanya.
Beliau yang turut bersimpati pada pelajar berkenaan bagaimanapun berkata, keberanian dan ketabahan pelajar ini memberi inspirasi pada diri serta tidak mudah mengalah dalam menghadapi cabaran hidup.
Tambahnya, semangat ini menjadi contoh kepada semua, untuk terus berusaha walaupun dalam keadaan yang mencabar. – HARAKAHDAILY 4/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan