Banjir: Industri padi rugi RM30 juta


Banjir: Industri padi rugi RM30 juta
PENDUDUK membersihkan rumah mereka yang terjejas akibat dinaiki air banjir di Kampung Paya, Balai Besar, Dungun, Terengganu, semalam. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Oleh FITRI NIZAM
7 Disember 2024, 6:44 am

PETALING JAYA: Industri padi di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Perak dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM30 juta selepas tanaman itu ditenggelami air akibat banjir gelombang pertama Monsun Timur Laut, baru-baru ini.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah), Abdul Rashid Yob berkata, kira-kira 20 hektar sawah padi terjejas sepanjang gelombang pertama Monsun Timur Laut melanda negara.

Katanya, antara kawasan terlibat adalah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) serta beberapa kawasan lain.

“Di KADA sahaja, kira-kira 6,000 petani terjejas dengan kerugian mencecah RM10 juta terutama di daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar dan Pendang.

“Jumlah kerugian dialami petani di KADA mungkin sedikit kurang berbanding ditanggung mereka akibat banjir pada September lalu kerana sekarang musim penanaman kedua untuk 2024. Padi ketika ini berusia sekitar satu ke dua bulan.

“Tetapi, tetap ada kerugian kerana petani terpaksa membeli benih dan membajak semula kerana padinya rosak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam..


Lebih malang, Abdul Rashid berkata, pihaknya dimaklumkan ada petani yang langsung tidak memperoleh hasil sepanjang tahun ini akibat bencana yang melanda sejak Januari lalu.

“Mereka ini sudah tiga kali dilanda bencana sejak awal tahun iaitu kemarau dan banjir sebanyak dua kali di Kedah. Jadi ketika musim menuai sebelum ini, mereka tidak ada hasil kerana tanaman padi rosak,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Ra­shid berkata, apa yang menyedihkan adalah bantuan tabung bencana tanaman akibat bencana pada September lalu masih belum diperoleh petani.

Katanya, kelewatan mengakibatkan petani terpaksa menanggung jumlah kos yang agak besar sedangkan hasil diperoleh adalah kecil.

“Kami menggesa pihak berwajib untuk mempercepatkan agihan bantuan tabung bencana tanaman padi, kerana ia boleh digunakan untuk modal operasi petani yang terjejas akibat bencana.

“Jika bantuan lewat, kita bimbang petani akan hilang motivasi untuk meneruskan aktiviti pertanian dan mengakibatkan sektor ini terus ketinggalan,” katanya. – UTUSAN

Ulasan