Bila dinasihat, suruh taubat: Hebat parti ‘Duta Tuhan’!


Bila dinasihat, suruh taubat: Hebat parti ‘Duta Tuhan’!
December 31, 2024

KUALA LUMPUR: Tindakan DAP mempertikai prinsip umat Islam dalam isu sambutan perayaan agama adalah cubaan untuk menggambarkan PAS sebagai ekstremis, khususnya kepada masyarakat bukan-Islam di Sabah dan Sarawak.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, majoriti rakyat bukan-Islam di Malaysia memahami dan menghormati batas agama Islam, termasuklah keengganan umat Islam menyertai sambutan perayaan agama lain.

“Mereka tahu dan hormat batas-batas agama Islam serta menghormati Islam sebagai agama rasmi negara. Samalah juga dalam isu makan minum; mereka hormat bila umat Islam tak makan dan minum perkara yang diharamkan.

“Tak adalah mereka kata macam-macam kat umat Islam kerana tak ikut mereka,” katanya dalam media sosial miliknya.

Beliau menjelaskan, isu akidah adalah lebih serius daripada isu makan dan minum kerana kerosakan akidah boleh membawa kebinasaan dan balasan neraka.

Oleh itu menurutnya, para ulama menegah umat Islam daripada menyambut perayaan agama lain, meskipun memberi ucapan dengan batas tertentu masih dibenarkan.

DAP tidak sensitif

Dr Muhammad Khalil menegaskan, tindakan DAP yang menyentuh sensitiviti umat Islam jelas menunjukkan sikap tidak hormat terhadap prinsip agama Islam.

“Bila umat Islam menasihat, pemimpin DAP siap suruh PAS bertaubat. Hebat parti ‘Duta Tuhan’ ni,” ujarnya sinis.

Beliau turut mempersoalkan sikap membisu pemimpin Umno yang sebelum ini lantang membela agama dan bangsa.

“Malangnya, mana suara pemimpin Umno? Semua diam membisu,” bidasnya.

Agenda ‘Malaysian Malaysia’

Menurutnya, agenda DAP yang memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ bertujuan menonjolkan kesamarataan hak tanpa mengira majoriti atau minoriti.

Namun jelasnya, dalam masa sama menimbulkan ketegangan dengan mempertikaikan hak umat Islam mengamalkan agama.

“PAS ni dah wujud sebelum merdeka lagi, sebelum DAP wujud, PAS dah ada. Rakyat bumiputrea Sarawak dan Sabah memperjuangkan kemerdekaan bersama-sama dengan PAS dan parti-parti lain.

“Sejak DAP berkuasa ni dah makin pelik; hak majoriti umat Islam nak ikut agama sendiri dipersalah dan dipersoalkan macam-macam.

“Dalam Islam tiada paksaan dan umat Islam tidak pernah memaksa orang bukan Islam mengikut apa yang dilakukannya baik dari segi kehidupan mahupun kepercayaan.

“Itulah sebaiknya, bersikap toleransi dan saling hormat menghormati. Hakikatnya apa dilakukan DAP hanya untuk kepentingannya sendiri, mengadu domba untuk terus kekal di kemuncak,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/12/2024

Ulasan