CEO Jeju Air mohon maaf



CEO Jeju Air mohon maaf
Oleh NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN
30 Disember 2024, 12:00 pm

SEOUL: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jeju Air, Kim E-Bae memohon maaf kepada keluarga mangsa tragedi nahas pesawat syarikat penerbangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan semalam, yang mengorbankan 179 nyawa.

Dalam sidang media ringkas, E-Bae berkata, punca kemalangan masih belum diketahui, manakala pesawat berkenaan tidak mempunyai rekod kemalangan atau tanda awal kerosakan.

“Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak penyiasat dan memberi keutamaan kepada sokongan terhadap keluarga mangsa,” katanya dipetik agensi berita Yonhap.

Pesawat Jeju Air penerbangan 7C2216 yang membawa 181 penumpang dari Bangkok, Thailand, sedang mendarat sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) sebelum melanggar tembok penghadang dan terbakar.

Pegawai bomba mengesahkan seramai 179 penumpang maut dalam nahas itu, manakala dua kru berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital.

Pihak berkuasa menyebut kemungkinan pelanggaran burung dan keadaan cuaca buruk sebagai punca insiden, yang mengakibatkan pesawat tersebut hampir musnah sepenuhnya.


Rakaman video menunjukkan pesawat Boeing 737-800 itu tergelincir di landasan sebelum melanggar tembok dan meletup.

Penumpang dilaporkan tercampak keluar dari pesawat, menyebabkan peluang untuk terselamat tipis.

“Pesawat ini hampir hancur sepenuhnya, dan proses mengenal pasti mangsa mengambil masa kerana usaha mencari serta mengumpul sisa mayat sedang dijalankan,” kata Ketua Balai Bomba Muan, Lee Jeong-hyun dalam taklimat kepada keluarga mangsa.

Ketika ditanya mengenai panjang landasan, seorang pegawai menyatakan bahawa ia tidak menjadi faktor, kerana landasan sepanjang 2,800 meter itu pernah digunakan oleh pesawat bersaiz sama tanpa masalah.

Ini merupakan nahas maut pertama dalam sejarah Jeju Air, yang sebelum ini mencatatkan insiden kecil pada 2007 apabila sebuah pesawatnya tergelincir di Lapangan Terbang Busan-Gimhae akibat angin kencang. -AGENSI

Ulasan