Derma duit ahli PAS yang miskin disindir, kata Hadi





Berita
Derma duit ahli PAS yang miskin disindir, kata Hadi

Diterbitkan: Dec 29, 2024 11:16 AM
Dikemaskini: 2:02 PM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada tulisannya Perjuangan memiggirkan Islam" membidas fahaman sekularisme dan pihak yang memusuhi Islam dari era penjajahan sehinggalah selepas merdeka.

"Setelah mereka berjaya menjajah bumi Islam pada masa umat mengalami kelemahan akibat meninggalkan ajaran Islam, ketika negeri-negeri Islam berjaya dijajah, musuh Islam merancang melalui undang-undang untuk mengawal pengajian Islam, khutbah Jumaat, pelajaran, pendidikan, pentadbiran, dan media bagi membendung kebangkitan semula umat Islam agar tidak kembali kepada Islam. Rancangan ini dilakukan sejak zaman penjajahan sehingga selepas kemerdekaan yang juga dirancang oleh penjajah.

"Senjata paling berbisa ialah menyebarkan fahaman sekularisme yang memisahkan urusan kehidupan dunia daripada Islam melalui pentadbiran dan jentera kerajaan, di samping mengawal pengajian Islam melalui sijil kebenaran atau lesen mengajar agama, termasuk mengawal khutbah Jumaat, hari raya, dan lain-lain," katanya lagi.

Sumbangan ahli PAS dipermainkan

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi menegaskan PAS terpaksa menghadapi beberapa tindakan yang menyusahkan sejak selepas kemerdekaan apabila menang di negeri bermula tahun 1959 sehingga kini.

"Seperti tekanan politik, ekonomi, pentadbiran dan media.

"Setiap penyumbang kepada PAS dianggap salah atau dipermainkan, sehingga terhadap ahli PAS yang miskin yang menyumbang sedikit duit juga dipermainkan dengan kenyataan lisan, tulisan, atau sindiran karikatur.

"Semuanya dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran tentang apa-apa yang pernah berlaku pada awal Islam.



"Mereka mencari setiap titik kecil kesalahan kumpulan Islam, sama ada tuduhan yang salah — termasuk kelemahan yang benar-benar berlaku, nescaya diperbesarkan untuk dimalukan — ataupun dicipta kesalahannya," katanya lagi

Semalam, Abdul Hadi berkata Islam mengajarkan umatnya untuk mengambil tanggungjawab atas kesilapan yang dilakukan oleh anggota sesuatu kumpulan.

"Begitulah PAS mengambil tanggungjawab atas ketelanjuran ahlinya yang membuat apa-apa tindakan yang salah, sehingga dihukum dengan bayaran atau denda," katanya.

"Percayalah bahawa sumbangan kita bersama Islam dalam semua perkara adalah jihad," kata presiden PAS.

Walaupun tidak menyebut secara khusus, kenyataan Hadi semalam muncul di tengah usaha kutipan derma PAS membantu Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad untuk membayar RM825,000 dalam bentuk ganti rugi kepada pemimpin DAP.

Ini selepas dia kalah dalam kes saman fitnah kerana menuduh Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mempunyai kaitan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (CPM) Chin Peng manakala Teresa Kok pula mempunyai kaitan dengan keluarga Lim.

Menurut satu pekeliling dalaman PAS, pemimpin Jawatankuasa Pusat PAS, ketua negeri, kawasan dan cawangan diwajibkan menderma sekurang-kurangnya RM500 setiap seorang.

PAS negeri serta sayap di peringkat pusat, negeri dan kawasan pula setiap satu diminta mengumpulkan derma sekurang-kurangnya RM20,000.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin (gambar atas) pada Selasa lalu dipetik Sinar Harian berkata kutipan derma tersebut memang wujud.

Mastura telah diberikan penangguhan sementara pelaksanaan pembayaran ganti rugi sementara menunggu perbicaraan mahkamah pada akhir Januari untuk mendapatkan penangguhan penuh terhadap hukuman tersebut.

Ulasan