‘Duta Tuhan’ dan krisis identiti Kerajaan Madani?
December 31, 2024
SETELAH hampir seminggu laporan polis dibuat ke atas Menteri Belia dan Sukan meminta beliau disiasat di samping seruan supaya beliau meletak jawatan atau digugurkan daripada kabinet Perdana Menteri susulan daripada keputusan penghakiman kes saman beliau ke atas mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang antara lain mendapati ‘Hannah Yeoh sendiri, melalui bukunya ‘Becoming Hannah’, mengakui peranannya sebagai ‘duta Tuhan’ dan usaha menyebarkan ajaran Kristian secara halus di Malaysia.’
Hari ini setelah puluhan laporan polis di seluruh negara dibuat ke atas ‘self proclaimed Pastor’ Hannah Yeoh seperti yang sering dikongsikan oleh blogger Helen Ang berpandukan perkongsian media sosial oleh tuan empunya badan dan rakan seperjuangannya bertahun lama, kita, rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, molek kiranya penulis buku ‘Becoming Hannah’ itu disiasat.
Semalam semasa himpunan dan usaha melakukan laporan polis beramai-ramai terhadap Hannah Yeoh di hadapan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Butterworth, salah seorang pemimpin masyarakat dilihat dalam sesi ‘live’ bertanya memohon pihak PDRM menyatakan berapakah jumlah laporan polis yang diperlukan supaya ‘orang kuat’ DAP ini disiasat?
Hakikatnya penulis sendiri pernah terdetik pertanyaan ini? Tentunya seluruh rakyat Malaysia, khasnya umat Islam yang kurang senang dengan dakyah Kristianisasi terhadap umat Islam, mahu tahu perkara yang sama?
Dalam perkembangan lain, semalam, Polis Sabah dilaporkan sebuah portal sebelum ini sedang mencari pereka grafik ‘Dengki Ke?‘, Fahmi Reza berkaitan poster ‘hasutan’ bakal Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Dalam laporan yang sama juga menyatakan bahawa pihak polis sudah menerima lebih 30 laporan polis berkaitan kes tersebut.
Mungkinkah sebanyak itu juga yang diperlukan untuk pihak polis memulakan siasatan terhadap Hannah Yeoh?
Hakikatnya kita sedia maklum bahawa laporan polis sebelum ini termasuk laporan polis yang dibuat oleh Dr Kamarul Zaman Yusoff sejak 2017 lagi masih belum mampu membuatkan ‘pastor’ tersebut atau bukunya disiasat?
Itulah juga yang menjadi hujah penyokong tegar Pakatan Harapan dan kerajaan Madani yang mempersoalkan semua laporan polis yang dibuat kini dan kononnya kekecohan yang membabitkan kes ‘duta tuhan’ ini semata-mata kerana pihak lawan, khasnya pembangkang mahu kenakan Perdana Menteri semata-mata.
Atau ianya sengaja diadakan kerana mahu menjatuhkan kerajaan Madani, dan antara hujah mereka bertanya kenapakah dulunya, sejak buku ‘Becoming Hannah’ ini keluar, ianya tidak disiasat atau diharamkan?!
Hujah yang sama juga digunakan empunya badan bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak pernah mengharamkan buku beliau, seolah-olah berhujah memberi gambaran bahawa buku tersebut bebas sebarang kesalahan di sisi undang-undang.
Maka moleklah kiranya kali ini, ‘duta tuhan’ dan bukunya itu, ‘Ini Kali Lah’ disiasat pihak polis, sepantas dan setuntas yang mereka lakukan ke atas kumpulan GISB, contohnya.
Kita mahu episod yang banyak menimbulkan keresahan dan mempertaruhkan keharmonian dan perpaduan pelbagai kaum, yang juga mendapat bantahan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kumpulan bukan Islam dinoktahkan demi kestabilan dan keamanan semua kaum di Malaysia.
Sebagai permulaan mungkin pihak PDRM boleh mewar-warkan setakat ini berapakah jumlah laporan polis terhadap Hannah Yeoh terkait isu ‘duta tuhan’ seperti keputusan kes Mahkamah Tinggi baru-baru ini?
Ini juga perlu dilakukan demi menghentikan tohmahan kononnya, Perdana Menteri sering campur tangan dalam kes-kes terkait pihak PDRM dan Jabatan Peguam Negara.
Malah kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim sendiri sering kali dituduh berada di bawah telunjuk parti sekular DAP.
Atau label ‘Kerajaan DAP’ terhadap kerajaan Madani yang sering berkumandang apabila pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim anak-beranak atau Cik Kok, contohnya yang dikatakan kebal walaupun dituduh berkali-kali melakukan hasutan melampau yang membabitkan isu-isu 3R.
Tentunya cakap-cakap dan tohmahan ini semua perlu dihentikan segera pihak kerajaan!
Maka dengan keputusan penghakiman yang dengan jelas telah memutuskan Hannah Yeoh sendiri dengan secara terbuka mengaku sebagai ‘duta tuhan’ dan melalui bukunya ‘Becoming Hannah’ mengaku mahu membawa dakyah Kristian-Evangelisme secara halus di Malaysia merujuk pernyataan penghakiman, siasatan lanjut perlu dilakukan segera.
Mungkinkah insiden ini kelak bakal membuatkan pentadbiran Perdana Menteri ke-10 itu yang baru saja mendapat rating kelulusan hanya 54 peratus berbanding 50 peratus tahun lepas akan mula menunjukkan penurunan kelak?
Malah menurut Dr. Mukhtaruddin Musa, merangkap Pengarah Bahagian Penyelidikan Yayasan Strategik Lestari (YSL) berpandangan Hannah Yeoh sepatutnya berkorban demi masa depan kerajaan Madani.
Menurut beliau lagi “Keputusan mahkamah secara tidak langsung sebenarnya menggambarkan bahawa pengakuan Hannah dalam bukunya sendiri bahawa objektifnya adalah untuk mengembangkan agama Kristian adalah benar.
“Melalui jawatannya sebagai menteri, sudah pastinya rakyat Malaysia beragama Islam bimbang ia akan memudahkan niat asalnya dengan bersembunyi di sebalik jawatan menteri.”
Sememangnya kebimbangan ini berasas. Ingat umat Islam negara ini masih lagi menangisi dan menyesali insiden pemurtadan terhadap umat Islam seperti kes Azlina Jailani dan Aisyah Bukhari atau sesiapa saja diluar sana, sama ada mereka ini mengaku secara terbuka atau masih bersembunyi-sembunyi dengan pendekatan rekontekstualisasi pendakyah-pendakyah Kristian.
Maka tindakan Menteri terbabit, Perdana Menteri dan pihak berwajib seperti PDRM kelak, bakal memberi tanda kepada umat Islam khasnya bahawa kerajaan perpaduan Madani sangat cakna isu-isu berkaitan Islam dan penganutnya, malah akan sentiasa mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai Agama bagi Persekutuan Malaysia.
Ianya bakal memberi signal bahawa Islam dan penganutnya tidak terancam dan tidak akan sesekali diancam dalam pentadbiran kerajaan sedia ada dan sokongan tidak berbelah bagi haruslah diberikan kepada kepimpinan Madani sedia ada.
Menurut pengkaji dan blogger terkenal Helen Ang, dapatan kajian yang dibuat Merdeka Center pada 10 Disember 2024 lalu boleh disimpulkan bahawa majoriti Orang Melayu, sebahagian besar Orang India dan Bumiputera Muslim secara ketara kurang menyenangi kepimpinan Madani menjelang dua tahun pentabirannya.
Persoalannya mampukah sebuah kerajaan yang tidak mendapat sokongan umat Islam, kumpulan majoriti dalam Malaysia, yang bakal menginjak menjadi lebih 70 peratus rakyat Malaysia menjelang 2050 kelak menurut kajian PEW Research, seperti yang pernah diulas panjang lebar penulis dalam buku ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’, bertahan menjadi sebuah kerajaan yang kuat, teguh dan kekal mapan?
Dan tentunya, label diam berpeluk tubuh PM, barisan kepimpinan Menteri-menteri Kabinet Muslim dan pihak berwajib seperti PDRM contohnya, akan isu ‘duta tuhan’ ini sangat tidak membantu!
HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 31/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan