‘Duta Tuhan’: Gesa tindakan segera pihak berkuasa
December 31, 2024
ALOR SETAR: Pihak berkuasa digesa berlaku adil tanpa memilih bulu agar siasatan serta tindakan segera dilakukan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Pengerusi Gabungan Gerak Rakyat Hidupkan Amar Maaruf Hancur Aktiviti Maksiat (GERAHAM), Ustaz Noor Hakimi Ab Halim menegaskan perkara itu dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.
Katanya, kebimbangan orang ramai sangat berasas kerana pemimpin DAP itu telah mengakui di dalam buku tulisannya, ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ sebagai ‘Duta Tuhan’ Kristian.
“Sebagai seorang menteri, kenyataan Hannah itu adalah bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
“Di mana ia bersalahan dengan perkara 11(4) bahawa Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam,” tegasnya.
Kata Ustaz Hakimi lagi, apabila sumber maklumat berkenaan diperolehi daripada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, maka sudah pasti kajian, siasatan dan pemantauan pergerakan telah dibuat dengan begitu teliti.
Mahkamah juga katanya, telah mengesahkan dakwaan Tan Sri Musa bahawa Hannah Yeoh sebagai ‘Duta Tuhan’ menyampaikan ajaran Kristian secara halus.
Iaitu berdakyah melalui karier politiknya dan bukunya itu ditujukan kepada semua orang dan bukan hanya kepada penganut Kristian sahaja.
“Jawatan sebagai Menteri tidaklah boleh diduduki oleh individu yang mengaku sebagai ‘Duta Tuhan’ dan mempergunakan jawatan untuk melakukan dakyah kepada semua orang.
“Pemimpin DAP itu telah melanggar peraturan Perlembagaan Persekutuan melalui buku tulisannya itu, sekali gus tidak layak terus memegang jawatan Menteri.
“Kerana boleh dianggap membawa ancaman akidah kepada umat Islam di Malaysia, selain mendatangkan bahaya kepada perpaduan rakyat Malaysia dengan agenda 3R.
“Kekarutan dan kekalutan ini harus dihentikan dengan segera dan tegas. Berkompromi dengan segelintir individu adalah tidak berbaloi berbanding memelihara keamanan, kesejahteraan dan keselamatan negara tercinta,” tegas beliau lagi.
Terdahulu, GERAHAM telah mengadakan laporan polis berhubung hal tersebut di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar, di sini Ahad lalu.
Mengulas lanjut kata beliau, orang ramai dari berbagai bangsa dan anutan kefahaman sudah dapat membezakan dan menyelami isu antara agenda besar yang dibawa oleh kumpulan evangelis Zionis ini.
Malah tegasnya, maklumat dan perkembangan isu global berkaitan Zionis mudah didapati sekarang ini, sama ada melalui penulisan atau ucapan melalui video yang ditular di media sosial.
“Ini adalah satu bentuk cabaran. Jangan sampai ‘Duta Tuhan’ bertemu antara buku dan ruas. Sudah tentu perundingan meja bulat mustahil diadakan mengikut protokol.
“Tambahan pula dipanaskan lagi dengan program di luar kebiasaan, sambutan Krismas di pejabat menteri,” tambah beliau lagi.
Justeru katanya, tidak hairanlah ramai pihak yang tampil membuat laporan polis terhadap perkara yang bukan sahaja bercanggah daripada Perlembagaan Persekutuan, malah tidak masuk akal sama sekali.
“Orang ramai telah melakukan usaha sedaya dan upaya yang ada. Giliran pihak berkuasa dan pemerintah pula untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan betul dan sempurna,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 31/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan