Gembleng kepakaran perkasa dasar digital negara
Oleh Prof Madya Dr Shamsul Arrieya Ariffin - Disember 23, 2024 @ 10:10am
KERAJAAN memperuntukkan RM50 juta bertujuan memperkasakan pertumbuhan kecerdasan buatan (AI) dan ekosistem digital negara menerusi Belanjawan 2025.
Serentak itu, baru-baru ini kerajaan menyeru setiap universiti menubuhkan fakulti AI baharu untuk melahirkan bakat teknologi dan mengembangkan lagi potensi bakat tempatan dalam bidang digital.
Usaha ini bakal melengkapkan Malaysia mencapai visi menjadi hab digital ASEAN, memanfaatkan lokasi strategiknya yang menjadi pintu masuk kepada pasaran serantau dengan lebih 600 juta penduduk.
Namun, jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar di Malaysia masih menjadi cabaran besar. Kawasan luar bandar sering kekurangan infrastruktur digital dan akses internet mencukupi.
Ia sekali gus mengehadkan peluang mereka untuk memanfaatkan teknologi AI dalam sektor ekonomi, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Oleh itu, pembangunan infrastruktur digital menyeluruh adalah penting untuk memastikan semua rakyat, tanpa mengira lokasi, mendapat manfaat daripada pendigitalan.
Peningkatan kadar celik digital dan kemahiran dalam kalangan penduduk juga penting. Ramai guru, pelajar dan pekerja masih belum mahir menggunakan teknologi canggih seperti AI secara aktif serta kreatif.
Maka, penubuhan fakulti AI dan penyediaan program latihan khusus di institusi pengajian tinggi (IPT) kelak boleh membantu menangani masalah ini. Di samping itu, program pembelajaran sepanjang hayat perlu dilaksana untuk memastikan rakyat dapat mengikuti perkembangan digital.
Pastikan tiada pihak tercicir transformasi
Sementara itu, kos tinggi peranti digital dan perkhidmatan internet menjadi halangan utama mendedahkan masyarakat kepada teknologi digital, terutama golongan berpendapatan rendah. Maka, subsidi dan penyelesaian teknologi mampu milik adalah penting untuk memastikan tiada individu tertinggal dalam transformasi digital negara.
Dalam hal ini, kita boleh belajar daripada negara luas seperti India yang menyediakan perkhidmatan internet mampu milik dan platform pendidikan AI dalam pelbagai bahasa untuk meningkatkan kadar celik teknologi rakyatnya.
Negara lain seperti Singapura, Jerman dan Brazil juga menawarkan inspirasi sama. Singapura memanfaatkan AI untuk meningkatkan perancangan bandar, pengangkutan dan keselamatan awam melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan serta perkongsian dengan firma teknologi global.
Jerman menggunakan strategi AI menekankan kerjasama antara akademia, industri dan kerajaan. Sistem dwipendidikan di Jerman mengintegrasikan pembelajaran teori dan praktikal, menyediakan kemahiran relevan untuk era AI.
Di Brazil, kempen celik digital awam dan program teknologi mampu milik bertujuan merapatkan jurang digital, sementara AI digunakan meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan.
Malaysia boleh mencontohi inisiatif ini dengan mengutamakan kerjasama antara universiti, industri dan kerajaan memupuk bakat tempatan.
Pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia bakal memperkuatkan potensi AI dalam domain seperti sistem autonomi, bandar pintar dan IoT. Dengan pelaksanaan strategik, Malaysia mampu menetapkan piawaian digital serantau serta memperkukuh statusnya sebagai pemimpin teknologi dalam ASEAN.
Malaysia turut mengambil langkah besar ke arah penggunaan AI melalui inisiatif seperti Rangkaian Bandar Pintar ASEAN (ASCN). Melalui kerjasama dengan syarikat global dan rakan kongsi serantau, Malaysia boleh mempercepatkan inovasi dan memastikan manfaat AI dirasai di seluruh masyarakat.
Namun, langkah ini perlu disokong dengan penyediaan tenaga kerja mahir konsisten melalui program pendidikan dan latihan berkualiti. Kesimpulannya, Malaysia berada di landasan betul untuk menjadi hab digital ASEAN dengan menekankan pemerkasaan rakyat melalui AI.
Dengan strategi menyeluruh, Malaysia mampu merapatkan jurang digital, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju digital global.
Penulis adalah Ketua Penyelidik Pengujian Kebolehgunaan Perisian Pendidikan, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris
Ulasan
Catat Ulasan