Himpunan Bangkit Ummah demi maruah umat Islam
Umat Islam kini rasa terancam oleh tindakan Menteri DAP
December 31, 2024
KUALA LUMPUR: Satu perhimpunan aman bagi membantah tindakan pihak-pihak yang mengganggu gugat keharmonian umat Islam di Malaysia iaitu ‘Himpunan Bangkit Ummah’ akan diadakan di Masjid Jamek, Kampung Bharu, Jumaat ini.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri berkata, himpunan oleh Solidariti Gerakan Bangkit Rakyat terdiri daripada Dewan Pemuda PAS dan Armada Bersatu turut akan disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Memetik MalaysiaGazette, Mohd Hafez berkata, antara isu yang akan dibawa dalam perhimpunan berkenaan iaitu bantahan terhadap perkara yang dikaitkan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Kor Ming.
Katanya, isu berkaitan Hannah mengenai penerbitan buku berjudul ‘Becoming Hannah’ yang didakwa mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus antara perkara perlu dipandang serius dan wajar ditentang.
Begitu juga katanya, isu yang ditimbulkan oleh Kor Ming apabila melakukan ritual sambutan Krismas di pejabat kerajaan.
“Kita sebagai rakyat dan umat Islam, kita rasa terancam di atas pengakuan Hannah kerana melanggar kedaulatan Malaysia sebagai sebagai sebuah negara Islam dan Islam agama Persekutuan.
“Kita mohon siasatan menyeluruh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mohon Kementerian Dalam Negeri haramkan buku tersebut. Kita minta PM pecat Hannah. Dia tak sesuai pimpin Kementerian Belia,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan