Isu kenaikan premium insurans kesihatan perlu penyelesaian holistik


Isu kenaikan premium insurans kesihatan perlu penyelesaian holistik
Oleh Kamarulzaidi Kamis - Disember 22, 2024 @ 10:15am
Isu kenaikan premium insurans perubatan menjadi topik hangat membelenggu rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini, khasnya susulan langkah interim diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM), baru-baru ini.

Langkah interim BNM adalah permulaan baik, tetapi hanya dapat memberikan kelegaan sementara kepada pemegang polisi insurans perubatan. Kenaikan tinggi harga perkhidmatan perubatan di hospital swasta dan kekurangan ketelusan dalam caj perubatan terus menjadi 'duri dalam daging' kepada pengguna.

Ini memerlukan 'pembedahan' segera dan menyeluruh, khususnya Kementerian Kesihatan (KKM). Data dibentangkan BNM melukiskan gambaran cukup membimbangkan.

Inflasi kos perubatan di Malaysia mencatatkan kadar dua digit selama bertahun-tahun dengan purata 15 peratus setahun. Kadar ini jauh melebihi purata global sekitar 10 peratus dan Asia-Pasifik (11 peratus).

Sejak 2018, peningkatan kos perubatan signifikan direkodkan dan trend ini dijangka berterusan pada tahun hadapan. Persoalannya, mengapa kos perubatan di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding negara lain?

Adakah faktor kos operasi, teknologi perubatan, atau adakah wujud unsur mengaut keuntungan berlebihan dikenakan pihak tertentu? Selain itu inflasi kos perubatan, peningkatan penggunaan perkhidmatan perubatan, terutama selepas pandemik COVID-19 turut menyumbang kepada kenaikan kos.

Data menunjuk peningkatan penggunaan perkhidmatan perubatan, contohnya jumlah tuntutan insurans dan takaful kesihatan meningkat daripada tujuh orang bagi setiap 100 polisi pada 2020 kepada sembilan orang pada masa kini. Kekerapan tuntutan yang lebih tinggi ini telah memberi tekanan kepada syarikat insurans dan takaful untuk menyesuaikan premium bagi memastikan mereka mampu menampung tuntutan.

Namun, adakah peningkatan ini disebabkan kesedaran kesihatan semakin meningkat dalam kalangan masyarakat atau terdapat faktor lain menyumbang kepada peningkatan ini, seperti peningkatan penyakit kronik atau faktor persekitaran?

Antara isu terbesar menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna adalah kekurangan ketelusan dalam caj perubatan di hospital swasta.

Kajian menunjukkan perbezaan besar antara bil pesakit menggunakan surat jaminan (GL) insurans dan mereka membayar sendiri. Sebagai contoh, kos rawatan denggi bagi pesakit dengan GL sekitar RM4,978, manakala pesakit tanpa GL hanya RM1,288.

Perbezaan ini jelas menunjukkan wujud amalan diskriminasi harga tidak beretika. Ketelusan dalam caj perubatan adalah hak asas pesakit dan hospital swasta perlu dipertanggungjawabkan untuk memberikan butiran caj jelas dan mudah difahami.

Selain itu, terdapat keluhan hospital swasta sering mengenakan caj tinggi untuk barang keperluan, contohnya sarung tangan getah atau peralatan perubatan lain.

Komponen ini menyumbang sekitar 59 hingga 70 peratus daripada keseluruhan bil perubatan, sekali gus membebankan pesakit dan meningkatkan kadar premium insurans.

Adakah caj ini benar-benar mencerminkan kos sebenar atau terdapat elemen mark-up berlebihan? Ketelusan dalam setiap aspek caj perubatan penting untuk membina kepercayaan antara pesakit dan penyedia perkhidmatan kesihatan.

Bukan selesaikan masalah teras

Sebagai pengawal selia syarikat insurans dan takaful, BNM memperkenalkan langkah interim untuk mengawal kenaikan premium. Langkah ini termasuk penetapan semula harga produk insurans perubatan dan kesihatan supaya kekal berdaya saing.

Namun, langkah ini semata-mata bertujuan memastikan syarikat insurans mampu menampung kos tuntutan, bukan meningkatkan keuntungan mereka. Walaupun langkah ini memberikan sedikit kelegaan kepada pengguna, ia tidak menyelesaikan masalah teras menyebabkan kenaikan premium.

Penyelesaian jangka panjang memerlukan pembabitan aktif KKM dalam merombak sistem penjagaan kesihatan negara. Antara inisiatif dimulakan adalah model pembayaran berkaitan diagnosis (DRG), bertujuan mengawal kos rawatan melalui penetapan harga standard berdasarkan diagnosis.

Langkah ini penting untuk memastikan caj hospital swasta lebih telus dan berpatutan. Namun, pelaksanaan DRG perlu diperluaskan dan diperkasakan lagi supaya impaknya dapat dirasai semua lapisan masyarakat.

KKM juga perlu mempertimbangkan memperkenalkan peraturan baharu bagi mengawal selia komponen caj hospital, termasuk ujian makmal, imbasan dan penggunaan peralatan perubatan.

Ketiadaan kawalan selia ketat hanya membuka ruang kepada amalan penentuan harga sewenang-wenangnya oleh hospital swasta. Pindaan undang-undang diperlukan untuk memberikan KKM kuasa mengawal selia harga perkhidmatan dan bekalan hospital secara lebih menyeluruh.

Penyelesaian kepada isu ini memerlukan kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan, termasuk hospital swasta, kerajaan dan syarikat insurans.

Hospital swasta perlu memainkan peranan aktif dengan menyokong pelaksanaan DRG dan meningkatkan ketelusan dalam penerbitan kos rawatan. Kerajaan pula boleh mempertimbangkan pembelian secara pukal untuk mengurangkan kos bekalan perubatan dan mewujudkan dana khas untuk menampung kos perubatan bagi golongan memerlukan.

Syarikat insurans juga perlu lebih proaktif menawarkan produk insurans inovatif dan mampu milik serta meningkatkan kecekapan operasi untuk mengurangkan kos overhead.

Umum mengetahui undang-undang semasa tidak membenarkan KKM mengawal selia caj hospital, kecuali untuk khidmat perundingan doktor. Ini satu kelemahan perlu ditangani segera. Pindaan undang-undang diperlukan untuk memberi kuasa tambahan kepada KKM mengawal selia caj hospital swasta.

Dengan kuasa ini, KKM dapat menetapkan penanda aras adil untuk caj hospital, sekali gus memudahkan penguatkuasaan dan melindungi hak pengguna. Penyelesaian jangka panjang memerlukan pendekatan menyeluruh yang membabitkan KKM, hospital swasta dan syarikat insurans.

Usaha untuk meningkatkan ketelusan, mengawal kos perubatan dan memperkenalkan peraturan baharu adalah langkah kritikal ke arah menangani isu ini. Tanpa penyelesaian terhadap punca sebenar masalah, kenaikan premium insurans akan terus membebankan rakyat.

Oleh itu, semua pihak perlu komited mencari penyelesaian holistik dan berkesan demi memastikan sistem insurans perubatan di Malaysia kekal mampan dan mampu milik untuk semua.

Penulis adalah Pengarang Berita Ekonomi BH

Ulasan