‘Jambatan’ pengamal media-Ahli Parlimen PN



‘Jambatan’ pengamal media-Ahli Parlimen PN
December 4, 2024

BANGI: Majlis Makan Malam Bersama Pengamal Media dan Pempengaruh anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat telah diadakan bagi mengeratkan hubungan bersama Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional khususnya PAS.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, majlis yang diadakan itu merupakan ‘jambatan’ untuk para pengamal media berkumpul dan berdialog bersama PAS.

“Sesungguhnya kehadiran semua yang hadir merupakan satu petanda bahawa ruang ataupun jambatan di antara pempengaruh dan pengamal media sentiasa kita pereratkan dan perdekatkan.

“Sebelum ini kita kumpul dalam media sosial sahaja. Tetapi malam ini kita dapat tengok secara langsung,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas pada majlis itu, malam tadi.

Antara yang hadir dalam majlis itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya serta Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Beliau dalam pada itu turut menyentuh mengenai cabaran para pengamal media dalam era pemerintahan kerajaan pada hari ini.

“Ada di kalangan pengamal media yang kad media mereka sudah ditarik, ada juga yang kad media mereka tidak diperbaharui. Pada kami di peringkat Lajnah Penerangan telah merasai bagaimana kad media ditarik balik.

“Saya berharap anda semua akan terus berpegang kepada pengamal media dan wartawan yang sentiasa menegakkan konsep ‘melaporkan yang benar dan melaporkan yang adil,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2024

Ulasan