Kes GISBH dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam

Kes GISBH dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam
Oleh Suraya Roslan - Disember 23, 2024 @ 12:44pm
SELAYANG: Kes Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan isteri Azura Md Yusof bersama 20 individu lain yang didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020 dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim Mahkamah Sesyen, Lailatul Zuraida Harron @ Harun membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Norinna dalam hujahannya berkata, seksyen berkenaan memperuntukkan kesemua kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Selain Nasiruddin, 65, dan Azura, 57, turut didakwa anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi Asa'ari, 32.

Pengikut lain yang didakwa Hasnan Abd Hamid, 53; Mohd Shukri Mohd Noor, 53; Mokhtar Tajuddin, 60; Shuhaimi Mohamed, 56; Muhammad Afdaluddin Latif, 34; Mohamad Sayuti Omar, 35; Mohd Fazil Md Jasin, 57; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34; Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 51; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 34; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.

Pengikut wanita lain yang didakwa ialah Hamimah Yakub, 72; Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 44, Mahani Kasim, 54, Siti Hajar Ismail, 51, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27, Nurul Jannah Idris, 28, Nur Jannah Omar, 32, dan Siti Salmiah Ismail, 57.

Peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili pihak pembelaan tidak membantah permohonan itu.

"Untuk rekod mahkamah tertuduh Azura dan Nasiruddin diletakkan dalam solitary confinement (penahanan secara pengasingan) masing-masing di Penjara Sungai Buloh (Nasiruddin) dan Penjara Wanita Kajang (Azura) dan mereka diasingkan lebih sebulan.

"Kami akan buat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan mendapat sokongan pihak polis supaya arahan pengasingan itu dilucutkan dan mereka ditempatkan di dalam sel biasa. Mohon perkara ini direkodkan mahkamah," katanya.

Seorang lagi peguam, Najib Zakaria berkata, pihaknya juga akan membuat permohonan perintah larangan bersuara (gag order) di Mahkamah Tinggi kerana kes itu tertakluk kepada perbincangan umum bersifat subjudis yang dikhuatiri akan mengganggu perjalanan kes.

"Kami sudah menyediakan permohonan itu yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi," katanya.

Sementara itu, kesemua mereka yang tiba menaiki trak polis dengan tangan bergari dilihat senyum dan melambai ahli keluarga yang tiba di pekarangan mahkamah.

Bagaimanapun, ahli keluarga tidak dibenarkan masuk dan berjumpa dengan semua tertuduh serta mahkamah dikawal ketat polis.

Pada 23 Oktober lalu, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang, di sini pada Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh terdiri daripada 13 lelaki dan sembilan wanita itu kerana kes mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali (tengah) temasuk 21 individu pengurusan tertinggi Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) tiba di Mahkamah Selayang bagi sebutan semula kes. - Foto NSTP/ ASYRAF HAMZAH

Ulasan