Khidmat Malaysia DUN Sura bantu mangsa banjir
December 7, 2024
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin (kiri) membersihkan barang yang rosak akibat banjir.
DUNGUN: Kira-kira 100 sukarelawan Khidmat Malaysia Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, turun padang membantu membersihkan rumah yang terjejas akibat banjir di Taman Rakyat Jaya di sini, hari ini.
Gotong-royong itu yang turut disertai penduduk setrempat adalah sebahagian usaha berterusan untuk meringankan beban mangsa banjir yang masih terkesan akibat bencana itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, berkata program itu juga sebagai tanda sokongan dan komitmen pihaknya membantu mangsa banjir yang masih berdepan dengan pelbagai kesulitan.
“Kami berusaha untuk memastikan rumah yang terjejas dapat dibersihkan secepat mungkin agar penghuni dapat kembali menjalani kehidupan mereka dengan selesa.
“Sebanyak 10 buah lori disediakan untuk mengangkut sampah serta barang yang rosak akibat banjir,” katanya ketika gotong royong itu.
Antara kerja yang dilakukan oleh sukarelawan Khidmat Malaysia ialah membersihkan lumpur, membuang barang rosak dan membersihkan peralatan rumah yang ditenggelami air.Sukarelawan Khidmat Malaysia DUN Sura menyertai gotong royong di Taman Rakyat Jaya
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, pihaknya bertekad untuk terus memberikan sokongan kepada mangsa banjir, terutama dalam usaha pemulihan dan pembersihan pasca banjir.
“Kami berharap dengan bantuan ini, kehidupan mereka dapat kembali normal dan proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya.
Beliau berharap kerja sukarela yang dilakukan membolehkan suasana kehidupan Taman Rakyat Jaya dapat dipulihkan dengan segera, sekali gus memberikan harapan baru kepada penduduk yang terkesan. – HARAKAHDAILY 7/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan