Kor Ming melampau, emosi, celupar, cetus ketegangan
Langgar, cabar dan campur urusan Islam
December 29, 2024
KUALA LUMPUR: PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berhubung kenyataan yang disifatkan sebagai tohmahan dan fitnah terhadap parti itu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memandang serius kenyataan melampau dan penuh emosi Kor Ming yang menuduh PAS sebagai ‘sesat, menyebar ajaran sesat, menunggang agama, merosakkan keharmonian masyarakat dan menyekat sambutan Krismas’.
“Ledakan emosi yang melulu dan tak terkawal ini dipercayai berpunca daripada teguran dan kemusykilan yang ditimbulkan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Hanif Jamaluddin berhubung kehadiran orang Islam dalam majlis sambutan Krismas anjuran kementerian itu baru-baru ini.
“Muhammad Hanif mempersoalkan sensitiviti kementerian berkait isu itu, sekali gus mengepilkan garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan 2005 berhubung penglibatan orang Islam dalam acara merayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam.
“Turut dikepilkan ialah penjelasan berhubung hukum orang Islam menyertai acara ‘Christmas Carolling’ daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Irsyad Hukum Siri ke 818, 24 Disember 2023),” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.
Takiyuddin berkata, kedua-dua garis panduan dan penjelasan hukum oleh dua institusi utama Islam ini menetapkan syarat-syarat ketat ke atas orang Islam berhubung perkara ini kerana ia termasuk dalam perkara berkaitan akidah dan kepercayaan Islam.
“Berdasarkan pertimbangan itu, persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Hanif adalah wajar dan seharusnya ditangani dengan cermat serta telus,” katanya.
Beliau berkata, tidak pernah berlaku mana-mana kementerian atau agensi kerajaan menganjurkan program perayaan keagamaan selain dari Islam secara terbuka di premis kerajaan, apatah lagi turut melibatkan pegawai dan kakitangan beragama Islam.
Justeru, PAS menggesa KPKT atau mana-mana pihak lain agar lebih peka dan berhati-hati pada masa akan datang dalam isu melibatkan hukum-hakam agama termasuk dalam sambutan perayaan.
“Hal ini kerana sikap sambil lewa, tidak peduli atau tidak sensitif bukan sahaja boleh membawa kesan buruk ke atas orang Islam, tetapi juga hubungan baik antara kaum dan agama.
“Isu ini seharusnya telah terhenti, tetapi malangnya ledakan emosi dan sikap melampau Menteri itu dalam kenyataan media semalam memburukkan lagi keadaan dan menimbulkan ketegangan serta polemik baharu yang tidak perlu dalam masyarakat,” katanya.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, PAS meletakkan liabiliti sepenuhnya kepada pemimpin DAP yang menjadi Menteri itu sekiranya akibat keceluparannya mencetuskan ketegangan dan mengulangi sejarah hitam dalam negara yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Beliau berkata, di sebalik percakapannya mengenai keharmonian, perpaduan, kesatuan dalam kepelbagaian, saling-menghormati dan sebagainya, Kor Ming sendiri sebenarnya tanpa segan silu telah melanggar dan mencabar bidang kuasa pihak agama di negara ini, serta terang-terangan mencampuri urusan agama Islam.
“Dengan menyebut bahawa PAS bukan sahaja ‘sesat’ tetapi ‘menyebarkan ajaran sesat’, Kor Ming boleh dianggap turut melanggar hak dan sempadan kuasa serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja sebagai ketua agama Islam.
“Selain mencabar bidang kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak-pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab ke atas penentuan status keagamaan mana-mana orang atau kumpulan orang Islam.
“Kuasa ini tidak dimiliki oleh orang atau pihak lain lebih-lebih lagi seorang bukan Islam,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, menteri itu secara terbuka menuduh dan memfitnah bahawa PAS kononnya ‘menyekat sambutan Krismas’, selain menyifatkan ucapan selamat sempena sambutan Krismas daripada PAS sebagai ‘hipokrasi tertinggi’ tanpa mengemukakan sebarang bukti atau hujah bagi menyokong dakwaannya.
“Perlu ditegaskan di sini bahawa ucapan selamat sempena sambutan perayaan agama dan budaya masyarakat di negara ini, baik Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya telah menjadi amalan PAS sejak bertahun-tahun sebagai tanda penerimaan dan penghormatan terhadap kepelbagaian agama dan budaya yang menjadi ciri penting masyarakat kita.
“Ucapan-ucapan ini juga disiarkan oleh pelbagai media di negara ini tanpa sebarang masalah sebagaimana mereka menyiarkan ucapan pemimpin atau parti lain,” katanya.
Justeru, beliau juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) berkata, sebagai manusia beradab sewajarnya menyambut baik dengan ucapan baik di hari yang baik dengan sekurang-kurangnya mengucapkan terima kasih sebagai cerminan hati budi.
“Bukannya mempersoalkan kejujuran atau niat pihak yang mengucapkannya, apatah lagi memberi gelaran buruk kepada mereka.
“Ia bukanlah masa untuk menyuburkan kebencian, menimbulkan permusuhan dan memfitnah seperti yang dilakukan oleh Kor Ming dalam kenyataannya sempena sambutan Krismas tahun ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan