Kos haji terus meningkat, apa pilihan yang ada?



Kos haji terus meningkat, apa pilihan yang ada?
Oleh Yulpisman Haji Asli
19 Disember 2024, 7:20 am

“Dan (di antara) kewajiban manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah, iaitu bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana” (Surah Ali Imran: 97)

Baru-baru ini, Tabung Haji telah mengeluarkan kadar baharu kos haji bagi 2025. Kadar bayaran bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada 2024.

Bayaran haji bagi seorang jemaah M40 pula RM23,500 berbanding RM19,152 pada 2024. Kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim 1446H/2025M bagaimanapun kekal iaitu RM33,300 seorang. Pada 2023, kos haji bagi kumpulan ini sebanyak RM30,850.

Memetik laporan akhbar ini, Lembaga Tabung Haji (TH) membelanjakan sebanyak RM261 juta bagi menampung pembiayaan golongan B40 dan M40 menunaikan ibadah haji pada tahun depan, menjadikan jumlah terkumpul bantuan tersebut melebihi RM2.8 bilion dalam tempoh 25 tahun.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kadar haji mengambil kira kedudukan semasa kewangan TH. Ada mesej disebaliknya. Bagaimana pada masa hadapan? Sampai bila dan sejauh mana kemampuan TH untuk terus menampung kenaikan kos?

Menurut laporan, antara punca kenaikan ialah kos penginapan yang meningkat mendadak akibat pembangunan pesat di Mekah dan Madinah. Belum lagi kos-kos lain seperti penerba­ngan, pengangkutan dan makanan minum.

Ini bererti, kos mengerjakan ibadah haji pada masa hadapan menjadi lebih mencabar khususnya bagi B40 dan M40. Peningkatan kos akan meningkatkan beban kewangan TH dan kerajaan, yang turut menyalurkan bantuan kepada jemaah yang layak. Terdapatkah cara untuk TH setidak-tidaknya mengimbangi kenaikan itu?

Penulis juga tertanya-tanya sama ada tempoh umat Islam mengerjakan haji di Mekah dan Madinah boleh dipendekkan? Sepengetahuan penulis, kebanyakan jemaah berada di Tanah Suci melebihi tempoh sebulan, malah ada yang lebih 40 hari.

Penulis tidak pasti tempoh sebenar seorang jemaah perlu berada di tanah suci sepanjang musim haji. TH tentu lebih arif mengenainya.

Kita maklum, tempoh lama di Arab Saudi memerlukan jemaah menginap lebih lama di hotel-hotel. Permintaan yang tinggi dan faktor pemodenan yang berlaku, akan menyaksikan harga bilik-bilik hotel terus meningkat pada masa hadapan. Ini belum mengambil kira faktor tukaran mata wang.

Selain itu, TH juga mungkin boleh meneliti semula bila­ngan agensi dan individu bagi mengelola dan menyelia jemaah sepanjang musim haji. Benar, niat TH adalah murni untuk memudahkan jemaah.

Namun, jangan lupa matlamat sebenar ibadah haji untuk mengajar umat Islam erti susah, sederhana, syukur dan sebagainya. Janganlah suasana selesa mengerjakan ibadah haji, tidak lagi mampu mendidik jiwa ummat untuk lebih tawaduk.

Seperkara lagi, setiap tahun negara mendapat kuota ter­tentu untuk menunaikan haji. Tidak cukup, kita mohon kuota tambahan. Kitaran yang berlaku saban tahun. Adakah perlu kita penuhi kuota itu? Bagaimana jika hanya mereka yang be­tul-betul kali pertama menunaikan haji dibenarkan berangkat? Bukankah haji hanya wajib sekali seumur hidup, kecuali bagi mereka yang bernazar. – UTUSAN

Yulpisman Asli ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan