
Maklum balas rakyat jadikan ukuran kesejahteraan lebih realistik
Oleh Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid - Disember 12, 2024 @ 8:30am
Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2023 baharu sahaja dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Umumnya, kesejahteraan merujuk kepada keadaan baik dan seimbang dalam hidup seseorang, membabitkan aspek fizikal, mental, sosial dan spiritual.
Ia juga sering dikaitkan dengan kebahagiaan seperti kesihatan yang baik, kestabilan kewangan dan hubungan sosial positif. Dalam konteks lebih luas, kesejahteraan boleh merujuk kepada kesejahteraan dirasai masyarakat atau negara.
Tahap kesejahteraan pada peringkat individu, masyarakat dan negara ini diukur menerusi beberapa aspek seperti ekonomi, pendidikan, keselamatan, komunikasi, akses kesihatan, perumahan dan pelbagai dimensi lain.
Istilah lain hampir sama maksud dengan 'kesejahteraan' adalah 'kebahagiaan'. Kebahagiaan adalah perasaan dalaman subjektif seperti kegembiraan, kepuasan atau keseronokan.
Kebahagiaan lebih bersifat emosional dan sementara serta dipengaruhi pengalaman dan persepsi individu. Justeru, kebahagiaan sukar diukur secara objektif kerana bergantung pada perasaan dan persepsi masing-masing.
Terdapat 70 petunjuk bagi IKRM Persekutuan dan 63 petunjuk bagi IKRM peringkat negeri. Prestasi IKRM pada 2023 meningkat 0.7 peratus kepada 121.3 mata berbanding 120.4 mata pada 2022.
Kedua-dua subkomposit kesejahteraan menunjukkan peningkatan pada 2023. Indeks subkomposit kesejahteraan ekonomi merekodkan peningkatan 0.5 peratus pada 2023 kepada 130.7 mata berbanding 130 mata pada 2022 dan indeks subkomposit kesejahteraan sosial pula meningkat 0.8 peratus kepada 116 mata berbanding 115 mata pada tempoh sama.
Peningkatan positif subkomposit ekonomi dan sosial IKRM 2023 memberi gambaran perkembangan pemulihan ekonomi dan pembangunan sosial semakin stabil akibat asakan pandemik COVID-19.
Faktor domestik dan global seperti dasar, inisiatif dan program pemulihan ekonomi, dasar belanjawan prihatin rakyat dan pemerkasaan sokongan sosial memberi kesan positif terhadap IKRM 2023 secara keseluruhan.
Peningkatan positif IKRM 2023 juga menunjukkan keupayaan kerajaan, swasta dan rakyat mengadaptasi cabaran pascanormal khususnya kesan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) terhadap ekonomi dan sosial.
Analisis IKRM menunjukkan subkomposit kesejahteraan ekonomi dalam tiga komponen merekodkan peningkatan pada 2023 disumbangkan komponen pengangkutan (2.4 peratus), pendidikan (0.8 peratus) dan komunikasi (0.2 peratus).
Indeks ini sangat membantu kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mengenalpasti petunjuk dan faktor meningkat serta menurun bagi membolehkan penambahbaikan perkhidmatan dan sistem penyampaian kerajaan.
Selain penambahbaikan, IKRM memberi gambaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dicapai agensi, jabatan dan kementerian pada tahun semasa.
Sebagai contoh, penurunan dua subkomposit ekonomi iaitu persekitaran kerja dan pengagihan-pendapatan akan menjadi tanggungjawab tiga kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Ekonomi.
Maka, dengan adanya data konkrit subkomposit berkaitan, jabatan dan agensi bertanggungjawab dapat merangka, menyusun dan melaksanakan dasar, strategi serta langkah lebih berkesan bagi menangani isu berbangkit seperti penurunan Pendapatan Negara Kasar per Kapita Benar, Pekali Gini dan Kadar Kemiskinan.
Begitu juga penurunan subkomposit persekitaran kerja akan membolehkan jabatan dan agensi di bawah KESUMA mengambil langkah segera memperbaiki isu berkaitan pekerjaan rakyat.
Hal sama perlu dilakukan jabatan dan agensi berkaitan subkomposit kesejahteraan sosial. IKRM sosial menunjukkan tiga subkomposit mengalami penurun iaitu alam sekitar, keselamatan awam dan perumahan.
Maka, jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NESR), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kewangan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu menggunakan pendekatan lebih inovatif meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian dan perkhidmatan diberikan.
Penurunan kualiti air, udara, peratus kawasan berhutan, kualiti sisa berjadual, purata suhu maksimum antara keutamaan perlu diberi perhatian jabatan dan agensi di bawah NESR.
KDN perlu meningkatkan sistem penyampaian dan perkhidmatan khususnya dalam memastikan bilangan kemalangan jalan raya dan jenayah menurun.
Bagi menggambarkan kesejahteraan sebenar dirasai rakyat, maka kajian lebih komprehensif menggunakan pendekatan kuantitatif dan kualitatif diperlukan.
Kajian persepsi terhadap 'kepuasan' dan 'kebahagiaan' rakyat terhadap 14 sukomposit IKRM wajar diambilkira. Rakyat seharusnya menjadi sebahagian daripada responden menjawab soalan berkaitan 'kesejahteraan' berdasarkan dua subkomposit iaitu ekonomi dan sosial yang rasai.
Hal ini kerana IKRM hanya diperoleh daripada data statistik semasa berkaitan bilangan dan nisbah 70 petunjuk daripada 14 subkomposit kesejahteraan ekonomi dan sosial.
Ia merangkumi pengangkutan, komunikasi, pendidikan, pendapatan dan pengagihan, persekitaran bekerja, perumahan, hiburan dan rekreasi, keselamatan awam, penyertaan sosial, tadbir urus, kebudayaan, kesihatan, alam sekitar dan keluarga.
Kesemua petunjuk ini adalah campuran data sedia ada direkodkan daripada jabatan dan agensi di bawah semua kementerian yang ada. Data statistik ini tidak membabitkan kajian persepsi yang dapat menggambarkan 'suara hati' rakyat mengenai makna sebenar 'kesejahteraan hidup' dinikmati mereka.
Selain itu, IKRM 2023 turut menunjukkan pencapaian kesejahteraan ekonomi dan sosial pada peringkat negeri. Sekali lagi, indeks kesejahteraan rakyat pada peringkat negeri dapat memberi nilai tambah kepada kerajaan negeri memperbaiki mana-mana 63 petunjuk mengalami penurunan dan peningkatan.
Bagaimanapun, untuk mendapatkan gambaran lebih menyeluruh 'kesejahteraan hidup rakyat', lebih murni sekiranya IKRM turut mengambil kira gambaran apa yang berlaku kepada 63 petunjuk pada peringkat daerah setiap negeri.
Jika IKRM dapat menyediakan maklumat tambahan pada peringkat daerah, ini akan membantu kerajaan negeri khususnya PBT menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan di daerah dikenal pasti kurang membangun dan terpencil. Dengan cara ini, 'kesenjangan' dapat dirapatkan, 'kesejahteraan hidup' rakyat pula teragih secara saksama dan merata.
Berbekalkan pendekatan dan metodologi lebih holistik serta komprehensif seperti disaran, ia dapat memberi gambaran sebenar suara hati rakyat berkaitan 'kesejahteraan hidup'.
Hal ini kerana, kesejahteraan hidup rakyat perlu diukur bukan hanya berdasarkan data dan angka direkodkan, sebaliknya maklum balas 'kesejahteraan hidup' rakyat yang diperoleh secara langsung daripada rakyat sendiri.
Penulis adalah Penyelidik di Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan & Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan