Menteri dakyah Muslim kepada konsep triniti?





Menteri dakyah Muslim kepada konsep triniti?

Nga Kor Ming mesti minta maaf babit orang Islam sambut Krismas
December 28, 2024

KOTA BHARU: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming diminta membuat permohonan maaf ekoran tindakannya membabitkan orang Islam dalam sambutan hari Krismas.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Siti Zailah Yusoff berkata, orang Islam dilarang terlibat dalam perayaan yang disambut pada 25 Disember setiap tahun kerana berkaitan soal akidah.

Beliau berkata, setiap tahun masyarakat beragama Kristian menyambut hari itu sebagai hari kelahiran Nabi Isa, bahkan mempercayai baginda merupakan anak tuhan dalam konsep triniti Kristian.

“Dari sudut agama Islam, kita sangat dilarang terlibat dalam sebarang acara pemujaan agama lain, dari sudut akidah memang tidak boleh, jadi sepatutnya Nga Kor Ming kena minta maaf.

“Ini kerana dia telah melaksanakan cara upacara ala Kristian yang melibatkan orang Islam, orang Islam tidak sepatut terlibat, kita tidak libatkan orang bukan-Islam dalam agama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program anjuran Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Ketua Muslihat PAS Kelantan itu turut mengulas kenyataan pimpinan DAP yang menganggap kritikan PAS sebagai tidak menghormati hak rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.

Beliau berkata, Islam merupakan agama rasmi termaktub dalam Perlembagaan Malaysia di samping agama lain bebas diamalkan selagi tidak disebarkan dakyahnya kepada orang Islam.

“Walaupun kita pelbagai kaum agama, kita tetap menghormati, tetapi dalam isu melibatkan agama Islam jangan agama lain seolah-olah mengambil kesempatan ketika bersama kakitangan kerajaan.

“Sebelum ini seingat saya tidak pernah berlaku tindakan seperti ini walaupun menteri dari Kristian atau Buddha tidak gunakan kesempatan ini untuk meraikan agama lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/12/2024

Ulasan