Mesej ‘terakhir’ mangsa Jeju Air petanda nahas
DUA wanita meratapi kematian ahli keluarga mereka di tempat perlindungan sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan.-AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
31 Disember 2024, 6:20 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


SEOUL: Seorang penumpang yang maut dalam nahas Jeju Air di Korea Selatan sempat menghantar mesej teks ‘terakhir’ kepada ahli keluarga, memaklumkan terdapat burung di atas sayap pesawat.

Menurut keluarga yang tidak didedahkan identiti, mangsa seolah-olah memberi ‘petanda’ akan berlaku nahas dan terkorban dalam tragedi berkenaan.

Mangsa dilaporkan sempat menghantar mesej teks memberitahu pesawat itu tidak dapat mendarat kerana ada seekor burung di atas sayapnya.

“Seekor burung tersangkut di sayap dan kami tidak boleh mendarat tadi. Patutkah saya meninggalkan kata-kata terakhir saya?” kata penumpang itu dalam mesej terakhirnya.

Keluarganya memberitahu agensi berita tempatan News1, penumpang tersebut tidak lagi dapat dihubungi selepas detik itu sehingga mereka menyedari namanya tersenarai sebagai mangsa yang maut.

Jeon Je-young, 71, bapa kepada seorang lagi mangsa wanita, Mi Sook, mengakui berulang kali memainkan video nahas itu.


“Apabila saya melihat video kemalangan itu, pesawat itu kelihatan di luar kawalan. Juruterbang mungkin tiada pilihan selain melakukannya.

“Anak perempuan saya maut dalam keadaan yang tragis ini. Amat sukar dipercayai. Saya terkilan tidak menghubunginya lebih awal kerana menyangka dia sudah hampir pulang,” katanya.

Penerbangan 2216 Jeju Air yang membawa 181 orang termasuk dua warga Thailand, terbang dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok, namun tergelincir ketika mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Muan sebelum merempuh dinding dan terbakar kira-kira pukul 9 pagi (waktu tempatan).

MASIH BINGUNG

Seorang daripada dua kru yang terselamat dalam nahas pesawat terbabit masih tidak dapat mengingati apa-apa tentang tragedi malang itu, malah terkejut ketika menyedari dirinya dirawat di hospital.

Apabila doktor di Hospital Mokpo Hankook bertanya tentang keadaannya, dia dilaporkan masih bingung dan sekadar bertanya, ‘Apa yang berlaku? Bagaimana saya di sini?

Mangsa hanya memberitahu doktor perkara terakhir yang diingati adalah memakai tali pinggang keledar, kerana menyangka pesawat itu akan mendarat.

Kru berusia 33 tahun yang dikenali sebagai Lee tidak ingat apa-apa selepas itu sehingga dia terjaga di atas katil hospital.

Lelaki itu, yang ditempatkan untuk melayani penumpang berhampiran bahagian belakang pesawat, mengalami kecederaan di bahu kiri dan kepala.

Seorang lagi pramugari berusia 25 tahun dikenali sebagai Koo sedang dirawat di Pusat Perubatan Asan di timur Seoul akibat kecederaan di kepala dan buku lali tetapi dilaporkan dalam keadaan stabil.

Lima daripada 179 yang maut adalah kanak-kanak dengan penumpang termuda adalah budak lelaki berusia tiga tahun.

Ramai penumpang dalam perjalanan pulang selepas menyambut cuti Krismas di Thailand.

SAKSI MATA

Ada saksi nahas melaporkan melihat api dalam enjin pesawat dan mendengar beberapa letupan sebelum bencana itu.

Seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Cho, tidak dapat melupakan detik melihat sendiri nahas itu ketika dia sedang berjalan kira-kira 4.5 kilometer dari lapangan terbang.

“Saya melihat pesawat itu terbang rendah dan menyangka ia sudah mendarat apabila saya ternampak kilatan cahaya. Kemudian ada dentuman kuat diikuti asap di udara dan saya mendengar satu siri letupan,” katanya dipetik Yonhap.

Seorang lagi saksi, Kim Yong-cheol, 70, berkata, pesawat itu gagal melakukan percubaan pertama untuk mendarat dan kemudian berpusing ke belakang untuk percubaan lain sebelum nahas.

“Saya masih teringat mendengar bunyi seretan logam dua kali kira-kira lima minit sebelum nahas,” katanya.

CETUS TANDA TANYA

Nahas itu adalah yang terburuk bagi syarikat penerbangan Korea Selatan sejak tragedi Korean Air 1997 di Guam yang meragut lebih 200 nyawa.

Menurut Presiden Lapangan Terbang Thailand, Kerati Kijmanawat, tiada keadaan abnormal dilaporkan ketika pesawat itu meninggalkan Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok.

Pakar berkata, laporan serangan burung dan cara pesawat itu cuba mendarat menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

“Pada ketika ini terdapat lebih banyak soalan daripada jawapan yang kita ada. Mengapa pesawat itu bergerak begitu pantas?

“Mengapa sayap tidak dibuka? Mengapa gear pendaratan tidak turun?,” kata Pakar Penerbangan dan bekas guru di Akademi Tentera Udara Itali, Gregory Alegi.

Di bawah peraturan penerbangan global, Korea Selatan akan mengetuai penyiasatan sivil ke atas nahas itu dan secara automatik melibatkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) di Amerika Syarikat (AS) di mana pesawat itu direka dan dibina.

NTSB berkata, pihaknya kini mengetuai pasukan penyiasat AS untuk membantu pihak berkuasa penerbangan Korea Selatan di mana syarikat pengeluar pesawat, Boeing dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan turut mengambil bahagian.

Insiden itu juga memberi satu lagi tamparan besar kepada Boeing yang sudah ditimpa pelbagai masalah sepanjang 2024 melibat mogok pekerja, harga saham yang menjunam dan isu keselamatan beberapa pesawat keluarannya.

Ulasan