Mitigasi banjir, jangan bertangguh lagi
Oleh Yulpisman Haji Asli
6 Disember 2024, 6:30 am
BANJIR besar yang melanda sembilan negeri sudah lebih seminggu berlalu. Namun, dilaporkan ada kawasan di Pantai Timur yang masih ditenggelami air bah. Penduduk terjejas dilaporkan masih belum habis berkemas, membersihkan kemusnahan yang berlaku dalam bencana tersebut.
Kini, mereka berdepan pula dengan ancaman gelombang kedua banjir dijangka bermula 8 Disember ini. Pastinya kerosakan dan kerugian bakal bertambah. Kitaran yang akan berulang saban tahun.
Memetik laporan akhbar ini semalam, banjir akibatkan kemusnahan besar. Jumlah kerugian disebabkan banjir kali ini dijangka melebihi RM1 bilion. Menurut pakar, nilai kerugian mungkin lebih tinggi dengan jumlah negeri dan mangsa yang terjejas lebih tinggi berbanding banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014.
Mengambil kira perubahan cuaca ekstrem yang makin sukar diramal kini, dan pembangunan berlaku di seluruh negara, kemusnahan dan kerugian akibat banjir dijangka terus meningkat pada tahun-tahun mendatang.
Sebelum ini, pakar-pakar telah mengemukakan pelbagai saranan kepada kerajaan untuk mengatasi bencana banjir yang berlaku termasuk banjir kilat di Lembah Klang. Cadangan termasuk pembinaan benteng atau tembok di Rantau Panjang, kawasan paling teruk terjejas setiap kali bah besar berlaku.
Dan di Parlimen semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu, kerajaan memerlukan kos RM392 bilion untuk melaksanakan 365 Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara. Ia berdasarkan hasil kajian risiko banjir mengikut kawasan bagi tempoh 2023 hingga 2100.
Fadillah turut berkongsi bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah mengenal pasti sebanyak 4,619 lokasi hotspot banjir di seluruh negara. Beliau memberitahu, kementerian berpuas hati dengan projek yang dilaksanakan misalnya Terowong SMART di ibu negara yang siap pada 2007 dengan belanja RM1.97 bilion.
Menariknya, sepanjang 17 tahun beroperasi, terowong itu telah diaktifkan sebanyak 600 kali dan berjaya mengurangkan risiko banjir di pusat bandar. Lebih menarik lagi, berdasarkan kajian JPS pada 2012, terowong itu berjaya menyelamatkan kerugian bernilai lebih RM4.3 bilion.
Kita boleh bayangkan kerugian lebih besar dalam tempoh tersebut jika tiada terowong SMART. Senario sama akan berlaku di seluruh negara, tanpa sebarang projek mitigasi banjir yang konkrit. Sebagai kerajaan bertanggungjawab, projek boleh sahaja dilaksanakan berperingkat dan konsisten di bawah setiap tahun belanjawan dan Rancangan Malaysia. Libatkan semua pihak di peringkat Pusat dan negeri.
Elakkan kerenah birokrasi, rasuah dan pelbagai penyelewengan. Ketepikan sentimen politik dan lain-lain yang boleh menyebabkan pelaksanaan projek tertangguh. Jika setiap tahun kerajaan berjaya melaksanakan projek RTB, penulis yakin kesan dan kerugian dapat diminimumkan, jikapun tidak dapat diatasi sepenuhnya. Sebaliknya, ditangguh rakyat terus derita dan kerugian demi kerugian direkodkan. Kos juga pasti lebih tinggi dan pelaksanaan pula mungkin jauh lebih rumit.
Kerajaan juga mesti lebih tegas menguatkuasakan larangan penerokaan kawasan hutan dan tadahan. Pembangunan di kawasan-kawasan sedemikian tidak boleh dibenarkan sama sekali. Sungai Kelantan berwarna kuning saban tahun dikatakan akibat aktiviti pembalakan di hulu. Justeru, bertindak dari sekarang, jika ditangguh lagi belum tentu kita mampu mendepaninya pada masa hadapan.
Yulpisman Asli ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan