Nahas Jeju Air: Ribuan rakyat Korea Selatan batal tiket penerbangan
Oleh NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN
31 Disember 2024, 1:12 pm
SEOUL: Ribuan rakyat Korea Selatan bertindak membatalkan tiket penerbangan mereka selepas insiden nahas udara yang mengorbankan 179 nyawa, lapor media tempatan hari ini.
Menurut Yonhap News Agency, Jeju Air Co. memaklumkan terdapat lebih 68,000 tempahan penerbangan telah dibatalkan, melibatkan lebih 33,000 tempahan bagi penerbangan domestik dan 34,000 lagi untuk laluan antarabangsa.
Tindakan tersebut berlaku selepas penerbangan 7C2216 milik syarikat tersebut, yang membawa 181 penumpang, terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di wilayah barat daya negara itu, semalam.
Ketika ini, pihak berkuasa sedang menyiasat punca sebenar nahas tersebut dengan memberi tumpuan kepada kemungkinan berlakunya perlanggaran dengan burung.
Bagaimanapun, beberapa pakar dan pemerhati turut mempersoalkan kewujudan struktur konkrit di lapangan terbang tersebut, serta kemungkinan ketiadaannya dapat mengurangkan jumlah kematian.
Dalam kejadian kelmarin, pesawat berkenaan dilaporkan tergelincir di atas permukaan tanah tanpa gear pendaratan sebelum melanggar dinding konkrit dan meletup.
Struktur konkrit tersebut difahamkan berfungsi sebagai sistem navigasi yang membantu pendaratan pesawat, dikenali sebagai localizer, dan terletak kira-kira 250 meter dari hujung landasan, menurut agensi berita itu.– AGENSI
Ulasan
Catat Ulasan