SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Mohammad Haziq Zikri Zainuri yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Dietetik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan pada Majlis Konvokesyen UPM ke-48 di Serdang, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Oleh AMINUDDIN LOKMAN HAKIM
1 Disember 2024, 7:10 am
SERDANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan terhadap cadangan untuk menukar nama Universiti Putra Malaysia (
UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia.
Baginda bertitah, cadangan yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu itu tidak dirujuk kepada baginda selaku Canselor UPM dan juga Lembaga Pentadbir universiti berkenaan.
“Beta menegaskan bahawa nama Universiti Putra Malaysia ini hendaklah dikekalkan kerana beta telah melancarkan jenama Putra yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen UPM ke-48, semalam.
Titah Sultan Sharafuddin, meskipun UPM terkenal dengan kursus pengajian utama seperti pertanian, perhutanan, penternakan dan perikanan, universiti itu turut menawarkan program dalam bidang-bidang lain yang memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat.
Baginda turut menekankan nama UPM diambil sempena nama Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang banyak berjasa kepada negara.
“Beta ingin mengingatkan kepada mereka yang tidak memahami sejarah agar membaca dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat sebarang kenyataan terutama melibatkan UPM,” titahnya.
Terdahulu, media melaporkan cadangan Mohamad untuk menukar semula nama UPM kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.
Mohamad berkata, beliau sendiri akan membawa cadangan itu ke mesyuarat Kabinet tidak lama lagi selepas mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara. –
UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan