Peniaga perabot, karpet di Rantau Panjang beri diskaun hingga 80 peratus
07 Disember 2024 08:25pm
Masa membaca: 2 minit
Orang ramai membeli barang lelong yang dijual oleh peniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang. Foto Bernama
PASIR MAS - Peniaga di Rantau Panjang di sini mula melelong barangan jualan yang ditenggelami banjir seperti perabot, peralatan dapur dan pakaian dengan memberikan diskaun hingga 80 peratus.
Pemilik kedai perabot dan karpet, Ali Manshah Hakim Shah berkata, sejak menjalankan perniagaan 20 tahun lepas, pekan itu lazimnya dilanda banjir tiga kali setahun.
"Saya tolak tepi kerugian asalkan barangan yang ditenggelami banjir ini dapat membantu mangsa dan mereka yang memerlukan.
"Bukan semua barangan di kedai D'Hana Karpet Jaya Enterprise ditenggelami banjir, ada yang kering tetapi kami tetap jual dengan harga murah sebab niat saya hendak bantu mereka yang terjejas," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Ali Manshah berkata, beliau menawarkan diskaun 50 peratus termasuk untuk sofa berjenama yang kini dijual pada harga RM1,600 berbanding harga asal RM2,990 manakala set katil ditawarkan pada harga RM380 berbanding RM590 sebelum ini dan alas tilam pula dijual serendah RM20 hingga RM45.
Bagi Farhana Abdul Rani, 39, kebanyakan pelanggan datang ke kedainya untuk membeli barangan seperti tilam, selimut dan cadar.
"Kebanyakan barang yang dijual telah ditenggelami air dan berselut sebab itu saya mengambil keputusan untuk menjualnya dengan harga yang jauh lebih murah.
"Saya tidak mahu menyimpan barangan terjejas kerana ia akan merugikan saya," katanya.
Artikel Berkaitan:Waspada taktik baharu 'scammer' beri diskaun bil elektrik - Polis
Murni Abdul Rahman, 47, pula berkata dia mengambil peluang membeli barangan pada harga lelong di premis yang dinaiki air.
"Saya orang tempatan Rantau Panjang, jadi saya tahu harga asal dan memang diakui barangan yang dilelong dijual pada harga sangat rendah," katanya.
Tinjauan Bernama di Kawasan Perniagaan Bebas Cukai Rantau Panjang mendapati lokasi itu sesak dengan orang ramai yang tidak melepaskan peluang tawaran harga lelong bagi barangan yang ditenggelami banjir. - Bernama
Ulasan
Catat Ulasan