Perjanjian air: Malaysia perlu tegas dengan Singapura
06 Disember 2024 02:05pm
Masa membaca: 3 minit
Khairul Faizi (kiri), Laporan Sinar Harian mengenai semakan kadar air mentah ke Singapura.
JOHOR BAHRU - Kerajaan perlu lebih tegas dalam isu perjanjian air dengan Singapura, memandangkan keputusan untuk kekal dengan perjanjian sedia ada sebagaimana Perjanjian Air 1962 dirasakan tidak menyebelahi negara.
Pengerusi Kongres Rakyat Negeri Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, Singapura perlu dibawa duduk semeja berbincang untuk mencari jalan penyelesaian rundingan air dengan Malaysia yang masih belum selesai.
Menurut beliau, perjanjian air dengan sekiranya tidak dirungkai, ia akan berlarutan sehingga ke tahun 2062, bermakna masih ada lagi 38 tahun untuk menamatkan perjanjian yang merugikan negara dan rakyat.
"Pada Isnin lalu, di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, mengumumkan kerajaan memutuskan untuk kekal dengan perjanjian sedia ada yang termaktub dalam Perjanjian Air 1962.
"Beliau memberikan hujah bahawa sebarang perubahan terhadap kadar jualan air mentah kepada Singapura, perlu mempertimbangkan implikasi terhadap kos pembelian air terawat dari negara itu, yang menjadi keperluan kritikal bagi negeri Johor, ia adalah merupakan satu keputusan yang tidak menyebelahi kita," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung I Pas menjelaskan. walaupun jawapan Ahli Parlimen Johor Bahru itu kelihatan seperti seimbang tetapi sebenarnya ia lebih kepada untuk memperlihatkan tindakan kerajaan yang berada pada keadaan 'win win situation' dalam menangani kemelut perjanjian air bersama republik berkenaan.
Dalam masa yang sama, beliau menyifatkan agak malang apabila Malaysia sekali lagi gagal dalam usaha untuk berunding dengan Singapura berkaitan dengan harga air yang dijual ke negara jiran itu walaupun pelbagai usaha telah dibuat, malah rundingan demi rundingan telah dilakukan.
"Pada Jun lalu, kelihatan ada sinar harapan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan memaklumkan kerajaan sedang melihat semula perjanjian berkenaan, namun harapan tinggal harapan apabila kerajaan berhasrat untuk kekal dengan perjanjian sedia ada.
Artikel Berkaitan:Henti beri Singapura subsidi RM52 juta setahun - Armada Bersatu
"Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, sebelum ini menyatakan bahawa harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air yang dijual Malaysia kepada Singapura sudah tidak relevan dalam konteks ekonomi ketika ini dan adalah sangat wajar supaya perjanjian itu dilihat semula dan rundingan mengenainya perlu diteruskan.
"Begitu juga pandangan Pensyarah Undang-Undang, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, yang melahirkan pendapat sama bahawa Malaysia mempunyai hak dan boleh menuntut semakan perjanjian air kontroversi Malaysia-Singapura 1962 selepas 25 tahun perjanjian itu ditandatangani berdasarkan Perjanjian 1962. Malaysia berhak menuntut semakan semula harga air mentah yang dijual kepada Singapura berdasarkan Klausa 14 dalam Perjanjian 1962," ujarnya.
Sebelum ini, Akmal Nasrullah memaklumkan, tiada keperluan untuk mengadakan rundingan semakan kadar air mentah ke Singapura kerana kerajaan ingin mengambil pendekatan yang berhati-hati dan teliti berdasarkan Perjanjian Air 1962.
Jelasnya, keputusan itu dibuat hasil perbincangan pada Oktober lalu antara kementeriannya dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Kata beliau lagi, sebarang perubahan kadar perlu mempertimbangkan implikasi kos pembelian air terawat daripada Singapura yang menjadi keperluan kritikal bagi Johor.
Beliau dilaporkan berkata secara puratanya, kerajaan perlu membelanjakan sekitar RM1.80 bagi setiap meter padu sekali gus menunjukkan ada timbal balik positif dalam Perjanjian Air Sungai Johor yang dimulakan pada 1962.
Perjanjian Air Sungai Johor pada 1962 itu hanya akan berakhir pada 2061, memberikan Singapura 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia pula membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.
Ulasan
Catat Ulasan